KBS giatkan pembangunan golf wanita, mahu lahirkan lebih ramai pemain berbakat

Hannah menzahirkan rasa bangga terhadap pencapaian lima atlet wanita negara yang beraksi dalam kejohanan golf Maybank 2025, khususnya Mirabel Ting yang cemerlang pada penampilan sulungnya sebagai pemain profesional. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menggiatkan usaha pembangunan golf wanita menerusi sokongan terhadap Persatuan Golf Wanita Malaysia (MALGA) termasuk menyediakan dana bagi penganjuran klinik golf bersama pelajar sekolah.
Menterinya Hannah Yeoh berkata langkah itu antara inisiatif berterusan kerajaan dalam memastikan sukan golf khususnya dalam kalangan wanita terus berkembang dan melahirkan lebih ramai pemain pelapis berpotensi tinggi.
"Sekarang ini kita buat banyak program pembangunan untuk bagi sokongan kepada MALGA dan kita bagi dana peruntukan untuk mereka buat klinik dengan pelajar sekolah.
"Kita ada tandatangan MoU (memorandum persefahaman) dengan KGNS (Kelab Golf Negara Subang) untuk pastikan atlet Malaysia yang nak bertanding, yang nak berlatih, boleh gunakan KGNS dengan diskaun," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Kejohanan Golf Maybank 2025 di sini semalam.
Mengulas isu penurunan hadiah wang tunai bagi kejohanan tempatan selepas pandemik COVID-19, Hannah berkata ia banyak bergantung kepada penajaan sektor swasta selain menyeru lebih banyak syarikat berkaitan kerajaan (GLC) melabur dalam sukan.
"Hadiah wang tunai banyak bergantung kepada penajaan... itu sebab syarikat-syarikat swasta kena mainkan peranan, tetapi mereka juga mahu tengok bahawa sokongan mereka untuk satu-satu program itu berbaloi untuk mereka," katanya.

Mirabel Ting beraksi dalam Kejohanan Golf Maybank 2025 di Kelab Golf & Country Kuala Lumpur, 1 Nov 2025. --fotoBERNAMA
Hannah dalam masa sama menzahirkan rasa bangga terhadap pencapaian lima atlet wanita negara yang beraksi dalam kejohanan golf Maybank 2025, khususnya pemain muda sensasi Mirabel Ting yang menampilkan prestasi cemerlang pada penampilan sulungnya sebagai pemain profesional.
Selain Mirabel, empat pemain negara lain ialah Kelly Tan, Genevieve Ling, Ashley Lau dan Liyana Durisic.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


