Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan mengkaji cadangan pembinaan stadium ragbi kekal pertama di negara ini yang diusulkan Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) kepada kerajaan terdahulu.

Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata beliau akan meminta Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Lokman Hakim Ali untuk memberi taklimat lanjut berhubung perkara berkenaan sebelum mengambil tindakan susulan.

"Benda yang baik perlu diteruskan, itu mustahak tanpa mengira pandangan politik. Saya kena dapat taklimat penuh daripada Datuk Lokman supaya kita boleh beritahu media mengenai tindakan selanjutnya," kata Syeq Saddiq ketika ditemui pemberita pada Rumah Terbuka Aidilfitri KRM di Wisma Majlis Olimpik Malaysia (MOM), di sini, pada Sabtu.

Dalam pada itu, Presiden KRM, Datuk Shahrul Zaman Yahya berkata pihaknya berterima kasih kepada KBS kerana berpandangan positif mengenai pembinaan stadium berkenaan.

"Yang Berhormat Syed Saddiq bersetuju bahawa perkara yang baik terutamanya dari segi prasarana untuk membangunkan sukan ragbi seperti pembinaan stadium ragbi kita sendiri.

"Beliau sangat menyokong usaha tersebut dan beliau berkata akan mendapatkan maklumat dan penerangan terperinci daripada Ketua Setiausaha KBS untuk melihat apa statusnya stadium ragbi itu dan untuk kita bergerak ke hadapan," jelas Shahrul Zaman.

Bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin sebelum ini dilaporkan berkata KBS bercadang membina sebuah stadium ragbi kekal bagi menghargai kejayaan Malaysia menjuarai Divisyen Satu Kejohanan Ragbi Asia 2017.

Skuad negara ketika ini menjalani latihan sama ada di Padang UPM, Serdang dan Padang Kelab Cobra di Petaling Jaya.

-- BERNAMA