KEPALA BATAS: Kementerian Belia dan Sukan akan memantau perkembangan kemelut melibatkan Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) dan Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF) sebelum membuat sebarang kenyataan.

Menterinya Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata pihaknya menghormati keputusan ASTAF yang menggantung sementara PSM daripada terlibat dalam sebarang aktiviti berkaitan sukan berkenaan, dan mahu proses perundangan yang berlangsung diselesaikan terlebih dahulu.

"Apa yang saya boleh katakan ialah PSM masih sebuah persatuan sukan yang sah dan apa yang terjadi kepada presiden mereka ketika ini tidak akan merencatkan aktiviti persatuan berkenaan.

"Mengenai tindakan yang akan diambil oleh ASTAF terhadap mereka pula, biarlah proses yang berkaitan selesai dulu. Ini adalah situasi yang biasa berlaku kepada badan-badan sukan di peringkat kebangsaan dan dunia," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Kasih Ramadhan Ceria Aidilfitri Menteri Belia dan Sukan yang juga Ahli Parlimen Kepala Batas, di sini, pada Sabtu, sebagai mengulas konflik di antara dua badan induk sukan sepak takraw itu.

Pada 28 April lepas, ASTAF mengambil tindakan menggantung sementara PSM daripada terlibat dalam sebarang aktiviti berkaitan sukan itu yang berkuat kuasa serta-merta, atas dakwaan melanggar perjanjian untuk mematuhi segala objektif dan perlembagaan Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF) dan ASTAF seperti yang dimeterai pada 14 Mac 2008.

Dalam surat tunjuk sebab kepada Setiausaha Agung PSM Datuk Abidullah Salleh, badan induk sukan sepak takraw Malaysia itu turut didakwa melakukan fitnah terhadap kepimpinan dan Majlis Eksekutif ASTAF serta organisasi ASTAF secara keseluruhan berdasarkan kenyataan Presiden PSM Datuk Seri Ahmad Ismail mengenai pemilihan ASTAF.

PSM diberi tempoh 14 hari untuk menjawab dakwaan berkenaan selain berdepan kemungkinan disingkirkan daripada ASTAF sekiranya didapati bersalah.

Terdahulu, Reezal Merican menyampaikan sumbangan kepada 1,000 penduduk golongan B40 di kawasan Parlimen Kepala Batas berupa barangan keperluan dan wang tunai RM200 masing-masing bagi membantu meringankan beban mereka.

Reezal Merican berkata bantuan itu adalah hasil sumbangan beberapa pihak antaranya Yayasan Salam Malaysia dan Philip Morris Malaysia.

-- BERNAMA