PUTRAJAYA: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memperkenalkan direktori kemudahan serta fasiliti yang dimiliki dan dikendalikan kementerian bagi memudahkan pelbagai pihak untuk mengakses dan membuat carian.

Menurut Menterinya, Hannah Yeoh, orang ramai boleh membuat carian mengikut lokasi dan jenis sukan berbeza.

Jelasnya pada ketika ini, 1,135 fasiliti disenaraikan di laman web KBS dan angka berkenaan akan ditambah dari masa ke masa.

"Direktori ini diwujudkan bagi memudahkan orang ramai untuk mengenal pasti kemudahan yang bersesuaian dan berdekatan kerana ia akan menyenaraikan fasiliti yang tersedia untuk digunakan.

"Ia juga akan membolehkan pemadanan antara persatuan sukan serta kemudahan tersedia untuk digunakan," jelasnya selepas majlis pelancaran Direktori Kemudahan dan Fasiliti KBS.

Tambahnya, direktori ini juga diperkenalkan bagi mencapai beberapa perkara termasuk menangani isu kekurangan kemudahan latihan.

Ia juga jelasnya bagi memastikan tidak terdapat percanggahan dalam perancangan infrastruktur merentas kawasan Parlimen dan menggalakkan Ahli Parlimen untuk menjadi lebih strategik untuk membangkitkan isu infrastruktur di Parlimen.

Jelasnya, KBS juga kini sedang berurusan dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk turut menyenaraikan fasiliti sukan bagi memudahkan carian dibuat bagi tujuan digunakan serta disewa.

Namun pada ketika ini, laman web berkenaan masih belum menyediakan ciri untuk membuat tempahan dan ia akan diperkenalkan tidak lama lagi.