KAJANG: Keputusan sama ada Malaysia berminat untuk menjadi tuan rumah Sukan Komanwel 2026 atau tidak, dijangka akan dibuat oleh Jemaah Menteri dalam masa terdekat.

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata pihaknya sedang menyediakan Kertas Kabinet, meliputi hasil kajian mengenai pelbagai aspek penganjuran sukan itu untuk diserahkan kepada Jemaah Menteri, bagi membuat sebarang keputusan.

"Saya tidak boleh komen perkara ini (sama ada berminat menjadi tuan rumah). Kita akan serahkan semua hasil kajian kepada Jemaah Menteri untuk satu keputusan. Kena tunggu dulu.

"Bukan sahaja kewangan, ada banyak faktor yang kena dilihat dan diteliti, jadi saya tidak boleh komen. (Kertas Kabinet) sudah hampir siap," katanya apabila ditanya jika Malaysia berminat untuk menjadi tuan rumah temasya berkenaan.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Wanita Kementerian Belia dan Sukan (KBS), dan pelancaran video Kod Sukan Selamat di Uniten di sini, hari ini.

Nasib Sukan Komanwel 2026 masih menjadi tanda tanya selepas negeri Victoria di Australia, yang sepatutnya menjadi tuan rumah edisi ke-23 itu, menarik diri pada Julai tahun lepas kerana peningkatan kos penganjuran daripada jangkaan awal AUD2.6 bilion (lebih kurang RM8.09 bilion) kepada AUD7 bilion (lebih kurang RM21.78 bilion).

Kerajaan Victoria juga dilaporkan bersetuju untuk membayar AUD380 juta kerana melanggar kontrak, apabila tidak dapat menganjurkan temasya itu mengikut jadual bermula 17-29 Mac, 2026.

Daripada 74 negara dan wilayah yang menjadi ahli Persekutuan Sukan Komanwel (CGF), hanya England, Kanada, Australia, Wales, New Zealand, Jamaica, Scotland, India dan Malaysia (1998) pernah menganjurkan temasya itu.

Sementara itu, Hannah berkata terdapat peningkatan mendadak penglibatan wanita dalam lembaga agensi-agensi di bawah KBS.

"Daripada 19 peratus pada tahun 2022, kini kita mempunyai 30.6 peratus wanita dalam lembaga yang saya lakukan di agensi, seperti Majlis Sukan Negara, Institut Sukan Negara, Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) dan Perbadanan Stadium Malaysia," katanya.

-- BERNAMA