KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan mengumumkan syarat serta insentif yuran mengikuti latihan sukan yang diberi pelepasan cukai seperti terkandung dalam Belanjawan 2024, sebelum Mac ini.

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata KBS telah bermesyuarat dengan Kementerian Kewangan serta Lembaga Hasil Dalam Negeri bagi memperinci terma yang boleh melayakkan orang ramai menikmati pelepasan cukai selepas membayar yuran latihan sukan disertai.

"Kita akan umumkan dalam masa terdekat bagi memastikan rakyat bersedia untuk menggunakan insentif cukai ini supaya mereka mula melabur untuk menjalani latihan sukan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri acara 'Datasonic H20 Run 2024' di Padang Merbok di sini, hari ini.

Katanya, yuran latihan sukan yang bakal diberi pelepasan cukai itu meliputi 103 jenis sukan diwartakan dalam Akta Pembangunan Sukan 1997 (Akta 576).

Beliau pada masa sama juga berkata Institut Sukan Negara sedang memperkasakan kursus kejurulatihan kepada para jurulatih bagi memastikan orang ramai menggunakan khidmat jurulatih yang benar-benar bertauliah.

"Orang ramai perlu menggunakan khidmat individu bertauliah yang ada sijil latihan sukan (sekiranya membayar yuran latihan sukan). Kami tidak mahu mana-mana pihak buat resit sendiri (untuk nikmati pelepasan cukai)," katanya.

Oktober tahun lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat berkata kerajaan mencadangkan pelepasan cukai khusus untuk pembelian peralatan dan aktiviti sukan terhad sehingga RM1,000 dan akan diperluaskan meliputi perbelanjaan yuran mengikuti latihan sukan.

Dalam perkembangan lain, Hannah berkata pihak Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) sedang berusaha memastikan insiden padang yang terjejas susulan konsert kumpulan terkemuka Coldplay di Stadium Nasional Bukit Jalil November lepas tidak berulang lagi pada penganjuran konsert penyanyi dari United Kingdom, Ed Sheeran, dijadual 24 Feb ini.

Beliau berkata keadaan padang juga kini bertambah baik, lebih-lebih lagi selepas beliau menyaksikan tayangan skrin besar aksi Harimau Malaya pada Piala Asia 2023 di stadium tersebut baru-baru ini.

Pada 4 Dis lepas, permukaan padang Stadium Nasional menjadi perhatian selepas pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT) Tunku Ismail Sultan Ibrahim memuat naik gambar keadaan gelanggang rasmi skuad Harimau Malaya itu yang kelihatan sedikit terjejas menerusi laman media sosial milik baginda menjelang final Piala Malaysia antara pasukannya dan Terengganu FC.

Ia merupakan kali kedua dalam tempoh kira-kira dua minggu, Tunku Ismail memuat naik gambar keadaan padang Stadium Nasional, yang pertama selepas dua hari konsert kumpulan Coldplay berlangsung di stadium berkenaan, 22 Nov lepas.

Sebagai rekod, Tunku Ismail mengurniakan rumput jenis Zeon Zoysia untuk digunakan di Stadium Nasional yang mula ditanam tahun ini.

-- BERNAMA