SUKAN
Kecederaan bahu paksa Pandelela tarik diri di Kejohanan Akuatik Dunia

Datuk Pandelela Rinong terpaksa menarik diri daripada acara 10 meter (m) platform seirama wanita bersama gandingannya Lee Yiat Qing pada Kejohanan Akuatik Dunia 2025 susulan kecederaan pada bahu kirinya. - Gambar fail/Astro AWANI
SINGAPURA: Ratu terjun negara Datuk Pandelela Rinong terpaksa menarik diri daripada acara 10 meter (m) platform seirama wanita bersama gandingannya Lee Yiat Qing pada Kejohanan Akuatik Dunia 2025 di sini hari ini susulan kecederaan pada bahu kirinya.
Pasangan itu sempat melengkapkan dua daripada lima terjunan dengan mengumpul 87 mata sebelum pengumuman rasmi penarikan diri dibuat ketika pusingan kelayakan sedang berlangsung di Pusat Akuatik OCBC di sini.
Pandelela berkata kecederaan yang dialaminya awal bulan ini masih boleh dikawal menerusi rawatan fisioterapi, namun ia kembali terasa semasa sesi memanaskan badan.
"Justeru, selepas dua terjunan, kami membuat keputusan untuk menarik diri demi faktor keselamatan. Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang hadir ke venue untuk memberi sokongan," katanya menerusi hantaran di Facebook.Dalam sesi pagi tadi, pasangan Nurqayyum Nazmi Mohamad Nazim dan Yong Rui Jie gagal mara ke final acara papan anjal seirama 3 meter lelaki selepas sekadar menamatkan saingan di tempat ke-21 dengan 302.76 mata daripada 26 pasangan bertanding.
Sementara itu, perenang negara Khiew Hoe Yean gagal melayakkan diri ke separuh akhir acara 200 meter gaya bebas lelaki selepas mencatat masa 1 minit 48.10 saat. Beliau menduduki tempat keempat dalam saringan tiga dan ke-31 keseluruhan daripada 59 peserta.
Dalam perkembangan lain, pemenang pingat emas Sukan SEA Phee Jinq En tidak memulakan saingan dalam acara 100 meter kuak dada wanita kerana mengalami masalah pada bahagian pinggul dan pangkal paha.
Ketua jurulatih renang negara, Eric Anderson, berkata keputusan itu diambil bagi membolehkan Jinq En memberi tumpuan kepada acara 50 meter kuak dada yang dijadual berlangsung pada 2 Ogos ini.
"Pasukan baru saja pulang daripada Sukan Universiti Dunia di Berlin dan ia bukanlah persiapan yang ideal. Itulah kejohanan utama yang menjadi sasaran kami untuk memuncak prestasi," katanya ketika dihubungi Bernama.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami