SUKAN
Kecergasan Speedy Tigers meningkat, bersedia untuk aksi Piala Asia 2025 - Sarjit

Sarjit bercakap pada sidang media di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, 20 Ogos 2025. --fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Aspek kecergasan skuad hoki lelaki kebangsaan menunjukkan peningkatan positif hasil latihan intensif selama hampir tujuh minggu bersama Institut Sukan Negara (ISN), sebagai persiapan menghadapi Kejohanan Piala Asia 2025 di Bihar, India.
Ketua jurulatih hoki lelaki negara Sarjit Singh berkata tahap kecergasan semasa anak-anak buahnya kini berada sekitar 80 peratus dan sudah bersedia untuk kejohanan itu yang dijadual berlangsung dari 29 Ogos hingga 7 Sept ini.
"Namun pada masa sama, pasukan lain turut melakukan persiapan yang terbaik dan seperti yang kita tahu, kecergasan pemain Korea Selatan, China serta Jepun memang pada tahap berbeza.
"(Selain kecergasan) kita turut perlu memberi tumpuan kepada aspek pemulihan memandangkan beberapa pemain mengalami kecederaan selepas Piala Negara-Negara FIH. Oleh sebab itu, kita bergerak perlahan namun ke arah yang betul," katanya pada sidang media pengumuman skuad ke Piala Asia 2025 di sini semalam.Dalam kejohanan itu, Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama-sama Korea Selatan, Bangladesh dan Taiwan.
Sarjit berkata skuad negara akan berlepas ke India pada Jumaat ini bagi mengharungi dua aksi perlawanan persahabatan menentang tuan rumah dan China sebelum membuka kempen kejohanan.
Speedy Tigers hadir dengan status naib juara edisi 2022 dan tampil bagi memburu satu slot ke Piala Dunia 2026 dengan syarat perlu muncul juara Piala Asia 2025.
Beliau berkata selain pemburuan untuk bergelar juara, kejohanan itu juga menjadi medan bagi memastikan Malaysia kekal sebagai pasukan nombor dua Asia dari segi ranking Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH).
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami