Pasukan Kedah melangkah ke suku akhir Piala FA selepas menundukkan pasukan jiran, Perlis 4-0 dalam saingan Piala FA di Stadium Darul Aman malam tadi.

Kedah menguasai perlawanan dengan asakan awal ke kubu Perlis dan hampir memperoleh gol pembukaan pada minit ke-15

Perlis cuba bangkit dengan peluang terbaik hadir pada minit ke-20 hasil cubaan Mohd Syafiq Azmi namun pantas diselamatkan penjaga gol Kedah Saiful Amar Sudar.

Gol pembukaan menjadi milik Kedah pada minit ke-43 hasil rembatan Billy Mehmet, yang menerima bola hantaran Mohd Syazwan Zainon.

Bersambung babak kedua, import Kedah Adam Grifith menjaringkan gol kedua pada minit ke-53 dengan menanduk hantaran lintang daripada ketua pasukan Badrol Bakhtiar.

Badrol muncul penyumbang gol ketiga hasil kesilapan penjaga gol Perlis Mohd Amirul gagal menangkap kemas bola rembatan Mohd Syazwan pada minit ke-63.

Minit-minit akhir sebelum wisel penamat dibunyikan Khairul Helmi Johari melengkapkan kemenangan bergaya Kedah dengan menanduk masuk bola hasil sepakan sudut Badrol Bakhitar.

Keputusan kekal 4-0 dengan kemenangan kepada Kedah sehingga tamat masa penuh.