SPORTS
Kejayaan atasi Manchester United tingkat keyakinan Aguero

Aksi pemain ASEAN All-Stars Sergio Aguero (tiga, kanan) pada Piala Cabaran Maybank Malaysia 2025 malam tadi. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Kapten ASEAN-All Stars Sergio Aguero berkata kejayaan menewaskan gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL) Manchester United pada aksi Piala Cabaran Maybank malam tadi, meningkatkan lagi keyakinan beliau untuk berdepan dengan mana-mana pasukan.
Ringkasan AI
- Kejayaan ASEAN All-Stars: Kapten Sergio Aguero menyatakan kemenangan ke atas Manchester United dalam Piala Cabaran Maybank sebagai detik bersejarah yang meningkatkan keyakinannya untuk berdepan pasukan lain.
- Wira perlawanan: Pemain gantian dari Myanmar, Maung Maung Lwin, menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-71, sekali gus menambah episod suram bagi skuad Red Devils yang dibimbing Ruben Amorim.
- Persiapan Manchester United: Selepas aksi di Malaysia, United akan meneruskan jelajah pramusim mereka dengan perlawanan menentang pasukan kebangsaan Hong Kong, sambil beberapa pemainnya menunjukkan tanda keletihan selepas jadual padat.
"Pasukan lawan kami adalah yang terbaik. Cara mereka mengawal bola dan membuat hantaran memang luar biasa. Ya, saya anggap ini sebagai detik bersejarah untuk diri sendiri," katanya kepada pemberita selepas perlawanan di sini.
Pemain Sri Pahang FC berusia 31 tahun itu berkata kemenangan diraih pada perlawanan menentang juara EPL sebanyak 13 kali itu telah meningkatkan keyakinan diri hingga tidak lagi gentar untuk berdepan mana-mana pasukan sekali pun.
Pada perlawanan malam tadi, pemain gantian dari Myanmar Maung Maung Lwin muncul wira ASEAN All-Stars apabila menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-71, sekali gus menambah derita skuad Red Devils kendalian Ruben Amorim yang melalui episod suram.
Aguero turut berkesempatan meluangkan masa bersama beberapa pemain Manchester United selepas perlawanan malam tadi termasuk Alejandro Garnacho dari Argentina dan pemain tengah Brazil, Casemiro.
"Saya berbual dengan kedua-dua mereka. Mereka keletihan kerana menempuh perjalanan yang panjang. Mereka beraksi pada final kemudian, perlawanan terakhir liga sebelum beraksi di Malaysia," katanya.
Sementara itu, Aguero mengambil pendekatan mengunci mulut berhubung masa depannya bersama Sri Pahang FC bagi mengharungi kempen Liga Malaysia musim 2025/2026.
Kali terakhir Manchester United beraksi di Malaysia ketika siri jelajah pramusim 2009, menewaskan Malaysia XI sebanyak dua kali iaitu masing-masing 3-2 dan 2-0 pada 18 dan 20 Julai di Stadium Nasional.
Manchester United yang menamatkan saingan di tangga ke-15 dengan 42 mata, akan berdepan pasukan kebangsaan Hong Kong di Stadium Hong Kong sebagai sebahagian daripada jelajah pramusim, esok.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami