NILAI: Pelumba negara diharap mampu memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri untuk meraih keputusan cemerlang apabila Kejohanan Lumba Basikal Trek Asia 2023 (ACC 2023) membuka tirai di Velodrom Nasional Malaysia di sini, esok.

Dengan mata kelayakan Sukan Olimpik Paris 2024 menjadi pertaruhan, skuad negara yang diketuai juara dunia keirin 2017 Datuk Mohd Azizulhasni Awang harus tampil lebih garang beraksi di hadapan penyokong sendiri di sebalik cabaran lebih 500 pelumba dari seluruh pelosok benua ini.

Pingat emas pertama kem Malaysia berpeluang hadir seawal hari pertama kejohanan esok menerusi trio pecut berpasukan lelaki dianggotai Mohd Fadhil Mohd Zonis, Muhammad Ridwan Sahrom dan Umar Hasbullah.

Pemegang rekod Asia bagi acara 1 kilometer ujian masa, Muhammad Fadhil, berpeluang menambah koleksi pingat emas kem negara apabila menyertai acara kegemarannya itu pada hari terakhir saingan Isnin depan, sekali gus memperbaiki kedudukan dari pingat perak edisi lepas.

Bintang muda wanita, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri yang dianggap jaguh dalam pembikinan pula, diharapkan dapat membuktikan keupayaannya dengan mempertahankan gelaran acara 500 meter ujian masa juga pada Isnin.

Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) Datuk Abu Samah Abd Wahab berkata sokongan padu penonton dan persiapan beraksi di laman sendiri boleh menjadi faktor penentu kejayaan barisan pelumba negara.

"Saya percaya semua pelumba negara, khususnya Mohd Azizulhasni, Shah Firdaus Sahrom dan Muhammad Fadhil kini berada pada prestasi terbaik. Doa saya agar semua pelumba Malaysia berjaya mencapai sasaran masing-masing.

"Saya amat berharap Mohd Azizulhasni, Shah Firdaus Sahrom dan Muhammad Fadhil boleh mengutip mata maksimum untuk pusingan kelayakan Sukan Olimpik. Saya rasa semua pihak termasuk KBS (Kementerian Belia dan Sukan) dan MSN (Majlis Sukan Negara) telah memainkan peranan masing-masing.," kata dalam kenyataan.

Di atas kertas, Mohd Azizulhasni dan Shah Firdaus sekali lagi menjadi sandaran terbaik Malaysia untuk beraksi di pentas Olimpik selepas mereka tampil bersama pada edisi Tokyo 2020.

Mohd Azizulhasni yang beraksi di Olimpik Beijing 2008, London 2012 dan Rio 2016, dilihat sebagai antara prospek utama negara untuk menyumbang pingat emas sulung Sukan Olimpik di bumi Paris nanti.

Dikenali dengan gelaran 'The Pocket Rocketman' kerana saiz kecilnya, pelumba berusia 35 tahun kelahiran Dungun, Terengganu itu meraih pingat gangsa di Rio dan perak Tokyo, kedua-duanya menerusi acara keirin.

Pada ACC 2022 yang diadakan di New Delhi India, Malaysia yang turun tanpa Mohd Azizulhasni yang ketika itu sedang pulih selepas pembedahan jantung, membawa pulang sebutir emas, tiga perak dan satu gangsa.

Tiket ACC 2023 boleh didapati pada RM30 (sehari) bagi dewasa dan RM15 (sehari) untuk kanak-kanak menerusi pautan https://ilassotickets.com/event/asian-track-championships-2023/.

-- BERNAMA