CARLOZ ALCARAZ tidak sabar untuk melunaskan dendamnya ke atas Novak Djokovic dalam Kejohanan Tenis Wimbledon.

Kedua-dua pemain itu bertemu dalam aksi grand slam pertama menerusi separuh akhir Terbuka Perancis bulan lalu, di mana ia merupakan perlawanan paling mencuri tumpuan tahun ini.

Dua set pertama berlangsung dengan amat sengit sebelum Alcaraz kemudian mengalami kekejangan dan tewas mudah dalam dua set berikutnya.

Dengan Alcaraz dan Djokovic akan menjadi dua pilihan utama di All England Club, perlawanan ulangan itu berkemungkinan dapat disaksikan dalam final, di mana pemain muda Sepanyol itu tidak sabar untuk menunjukkan apa yang telah dipelajarinya di Paris.

"Saya boleh katakan ia adalah tekanan yang diberikannya kepada semua orang," kata Alcaraz ketika ditanya mengenai perkara paling sukar ketika berdepan Djokovic.

"Bukan hanya saya, ia buat semua orang yang perlu bermain dengan cara terbaik selama tiga jam dalam grand slam.

"Saya perlu menanganinya tetapi ia merupakan sesuatu yang benar-benar saya mahu lakukan.
"Saya berharap dapat bertemunya dalam final," katanya. -- Stadium Astro