JOHOR BAHRU: Kekalahan Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta'zim (JDT) pada perlawanan akhir Piala Malaysia di tangan Kuala Lumpur City FC (KL City) Selasa lepas, tidak melunturkan semangat dan sokongan rakyat Johor terhadap skuad itu.

Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad berkata sudah menjadi adat dalam sukan bola sepak ada yang kalah dan menang dalam pertandingan.

"Kita orang Johor tetap berbangga dengan JDT. Ia tetap menjadi satu pasukan yang ulung dalam negara, selalunya bila JDT main, satu negara akan sokong (pihak) yang lawan JDT.

BACA: KL City benam JDT, muncul juara Piala Malaysia edisi ke-100!

"Jadi kita bukan lawan KL City tapi kita lawan Malaysia," katanya berseloroh ketika berucap merasmikan Majlis Pelancaran Kebun Bandar sempena Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia 2021 peringkat negeri Johor di sini hari ini.

Pada perlawanan akhir 30 Nov lepas, KL City menjulang trofi Piala Malaysia selepas penantian 32 tahun dengan menewaskan JDT 2-0 di Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

-- BERNAMA