JOSE MOURINHO memberi petunjuk jelas bahawa beliau tidak tertarik dengan jawatan kosong di Newcastle United sambil melabel usaha mengemudi kelab yang berjuang di pertengahan liga bukanlah sebahagian daripada sifatnya.

The Magpies sedang memburu pengurus baru berikutan kegagalan mencapai persetujuan dengan Rafael Benitez, yang akan mengakhiri tempohnya selama tiga tahun sebaik kontraknya tamat, hujung minggu ini.

Mourinho tidak menggalas sebarang jawatan sejak meninggalkan Manchester United pada Disember 2018 sebelum dikaitkan dengan kekosongan jawatan di St. James' Park.

Bagaimanapun, dalam satu temu bual rancangan The Coaches' Voice, beliau menjelaskan mengenai ciri-ciri tugasan yang beliau tidak akan sahut.

"Satu-satunya perkara yang saya tahu adalah tentang apa yang saya tidak mahu," kata Mourinho.

"Apa yang saya tidak mahukan adalah jelas. Saya mempunyai penyakit yang dalam erti kata lainnya, saya perlu bermain untuk menang.

"Sama ada saya menang atau tidak, itu masalah antara saya, pemain, kelab dan strukturnya tetapi saya memerlukan projek di mana saya berasa boleh mencapai kemenangan.

"Jika seseorang menawarkan saya kontrak 10 tahun yang menakjubkan dan berkata objektif pasukan itu adalah untuk meraih kedudukan lebih baik sedikit daripada pertengahan liga, menamatkan saingan di tempat ketujuh, kelapan atau kesembilan dianggap sempurna, maka itu bukan sifat saya.

"Langkah saya yang seterusnya adalah untuk berjuang mencapai kemenangan."

Mourinho sempat dikaitkan dengan Juventus sebelum juara Itali itu melantik Maurizio Sarri sebagai pengurus baru.

Bekas pengurus Inter dan Porto itu bersikap terbuka untuk bekerja dalam suasana baru sebaik dia bersedia mengambil tugas seterusnya.

Beliau mengingatkan mengenai kejayaannya sebagai pengurus yang tidak dapat ditandingi di Eropah sambil memberi bayangan kesudiannya untuk mengemudi skuad kebangsaan.

"Saya mampu menyesuaikan diri," kata Mourinho. "Saya agak fleksibel sehingga adakalanya mengambil langkah yang bertentangan dengan buah fikiran sendiri dengan memilih cara yang betul untuk berjaya.

"Saya kini merupakan satu-satunya pengurus yang pernah memenangi liga di England, Itali dan Sepanyol. Anda memerlukan kemampuan untuk menyesuaikan diri dengan mengawal keadaan sekeliling.

"Anda perlu menyesuaikan diri dengan realiti kelab, persaingan, bahkan hubungan sosial yang menuntut anda untuk memahami keperluan, matlamat dan motivasi semua pihak.

"Itulah sebabnya saya mengatakan bahawa saya benar-benar kaya dengan pengalaman seperti ini.

Itulah sebabnya saya tidak menutup pintu untuk pergi ke negara baru, untuk saingan baru kerana saya amat menggemari perasaan misteri ini dan perasaannya apabila mempersoalkan diri sendiri: bolehkah saya menang?"