KELANTAN United FC tidak pernah culas dalam menyelesaikan bayaran gaji pemain pasukan itu apabila memperkenalkan penjadualan pembayaran.

Ketua Pegawai Eksekutif, Wan Zul Ikman Wan Ab Aziz berkata, usaha itu memperlihatkan komitmen pengurusan kelab dalam menyelesaikan masalah tersebut.

"Tunggakan gaji yang melanda sejak Ogos telah diselesaikan dengan situasi menang-menang di antara pihak pengurusan kelab, pegawai, kejurulatihan dan juga barisan pemain.

"Pihak pengurusan sebelum ini telah mengeluarkan satu memo berkenaan jadual pembayaran gaji dan ia telah dipersetujui oleh semua yang terlibat.

"Kelantan United FC sentiasa komited melangsaikan segala hutang tunggakan apabila telah memulakan proses bayaran bermula pertengahan Disember 2023 iaitu separuh gaji bulan Ogos sebelum perlawanan terakhir Liga Super," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Menurut beliau, sehari selepas perlawanan itu, kelab telah melakukan pembayaran gaji untuk bulan September kepada semua pegawai, kejurulatihan dan pemain.

Ujarnya, mengikut persetujuan penjadualan pembayaran seterusnya pada 31 Disember, namun disebabkan beberapa masalah teknikal yang tidak dapat dielakkan, Kelantan United telah mengambil tindakan menghubungi pemain dan pegawai untuk menjelaskan keadaan.

Wan Zul Ikman memberitahu, Kelantan United FC telah mengkreditkan gaji kepada mereka yang memerlukan.

Tambah beliau, pemain atau pegawai yang belum mendapat baki gaji Ogos, pihak kelab akan menyelesaikan pembayaran itu pada Rabu ini.

"Mengikut jadual yang telah dipersetujui juga, tiga bulan baki tunggakan gaji untuk Oktober, November dan Disember akan diselesaikan pada 15 Januari dan 31 Januari 2024 adalah pembayaran terakhir untuk semua tunggakan gaji untuk musim 2023.

"Untuk pengetahuan semua, penjadualan pembayaran tunggakan gaji ini turut dimaklumkan kepada Liga Bola Sepak Malaysia (MFL)," katanya. - Sinar Harian