TAMBUN: Skuad Harimau Malaya mampu mengatasi Bangladesh dalam perlawanan terakhir kempen kelayakan Kumpulan E kelayakan Piala Asia 2023 pada Selasa ini.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, walaupun tewas 1-2 kepada pasukan Bahrain pada Sabtu lalu, tetapi anak-anak buah ketua jurulatih kebangsaan Kim Pan Gon itu telah menunjukkan persembahan yang hebat.

Menurutnya, pemain negara juga telah menunjukkan semangat juang yang tinggi sejak kempen kelayakan itu bermula apabila berjaya menumpaskan Turkmenistan 3-1 pada perlawanan pertama.

“Saya harap persembahan ataupun momentum yang baik. Saya nampak ada peningkatan ketara dengan coach Kim Pan Gon ni.

“Saya harap momentum peningkatan ni dapat berterusan dan akhirnya kita akan, satu hari nanti mempunyai satu pasukan yang cukup-cukup hebat yang akan bertarung di peringkat yang paling tinggi, Insya-Allah.

“Tapi kita mesti terus bagi sokongan, jangan sentiasa terlalu menuding jari tetapi kita belajar daripada kesilapan dan bangkit,” ujar Ahmad Faizal.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikian Surau Al-Faizin Sekolah Kebangsaan Polis Hutan di sini, pada Isnin.

Malaysia akan bertemu Bangladesh, pasukan ranking ke-188 dunia dengan misi wajib menang untuk mencerahkan laluan layak ke saingan Piala Asia 2023 di China.

Dalam pada itu, Ahmad Faizal berkata, beliau difahamkan Stadium Nasional Bukit Jalil masih menjadi gelanggang perlawanan berkenaan.

Justeru, beliau berharap, para penyokong akan turun beramai-ramai untuk terus memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada skuad Harimau Malaya.