Kem silat sasar ulangi kejayaan cemerlang di Sukan SEA Thailand

Kem pencak silat negara bertekad mengulangi pencapaian cemerlang dua tahun lalu apabila menyasarkan untuk meraih empat pingat emas pada temasya Sukan SEA di Thailand, Disember ini. - Foto fail/BERNAMA
NILAI: Kem pencak silat negara bertekad mengulangi pencapaian cemerlang dua tahun lalu apabila menyasarkan untuk meraih empat pingat emas pada temasya Sukan SEA di Thailand, Disember ini.
Setiausaha Agung Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka), Bibi Aishah Golbal Shah berkata biarpun beberapa kategori 'lubuk emas' tidak dipertandingkan pada edisi kali ini, pihaknya tetap optimis sasaran tersebut mampu dicapai.
"Setakat ini, pasukan Malaysia di bawah kendalian saya tidak pernah gagal dari segi pungutan pingat. Kebiasaannya, apa yang kami sasarkan, kami berjaya tepati, malah kadang kala melebihi jangkaan.
"Pada Sukan SEA lalu di Kemboja, sasaran kami hanya tiga pingat emas tetapi berjaya membawa pulang empat. Jadi, kami berharap kejayaan sama dapat diulangi di Songkhla (Sukan SEA) nanti," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas lawatan Timbalan Ketua Kontinjen (CDM) ke pusat latihan skuad silat negara di sini pada Khamis.
Mengulas lanjut mengenai persiapan skuad negara menjelang temasya dwitahunan itu, Bibi Aishah memaklumkan semuanya berjalan lancar mengikut perancangan.
Malah, katanya pasukan negara kini berada pada prestasi terbaik selepas meraih tiga pingat emas di Kejohanan Silat Asia Tenggara 2025 di Hatyai, Thailand, baru-baru ini.
Kami juga akan mengadakan latihan pusat terakhir di Cameron Highlands selama dua minggu bagi memperbaiki beberapa kelemahan sebelum berlepas ke Thailand Disember ini," katanya.
Sementara itu, atlet pencak silat negara Muhammad Robial Sobri bertekad menukar kilauan pingat perak yang diraih pada edisi lalu kepada emas pada temasya kali ini.
Menurutnya meskipun pernah berdepan kecederaan lutut yang memaksanya berehat selama setahun, semangatnya untuk menyumbang kejayaan kepada negara tidak pernah pudar.
"Alhamdulillah, baru-baru ini saya dikurniakan rezeki memenangi pingat emas di Kejohanan Silat Asia Tenggara 2025.
"Ia memberi keyakinan baharu kepada saya untuk membawa pulang emas buat Malaysia dan diri sendiri," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


