ALOR SETAR: Melaka muncul juara Kejohanan Sepak Takraw Piala Emas Khir Johari 2024 selepas menewaskan Pulau Pinang 2-1 pada perlawanan akhir di Stadium Sultan Abdul Halim, di sini, hari ini.

Kemenangan Melaka yang dibarisi enam pemain kebangsaan, sekali gus menamatkan penantian 39 tahun pasukan tersebut untuk menjulang piala edisi ke-57 itu selepas kali terakhir pada tahun 1985.

Mata pertama Melaka diperoleh menerusi Regu A yang dibarisi trio kebangsaan, Syahir Rosdi (tekong), Mohd Khairul Zaman Hamir Akhbar (apit kanan) dan Mohd Muqlis Borhan (apit kiri).

Mereka menang 21-18 dan 21-15 mengatasi Regu A Pulau Pinang yang dibarisi Ikhwan Syafiq Mohamad Fitri (tekong), Afiq Aiman Zairi (apit kanan) dan Irzan Nazri (apit kiri).

Pada perlawanan Regu B, Pulau Pinang berjaya memberi saingan kepada Melaka dan meraih mata penyamaan apabila trio Imran Mohd Fazli (tekong), Aiman Aliff Roslan (apit kiri) dan Nabil Naufal M Fuad (apit kanan) menang 22-20 dan 21-18 ke atas trio Melaka iaitu Shakir Jamal (tekong), Arif Daniel Arifin (apit kanan) dan Raqib Effendi (apit kiri).

Bagaimanapun, Melaka, yang turun sebagai pilihan utama kejohanan kali ini, berjaya memadamkan kesungguhan Pulau Pinang dan menepati ramalan apabila memungut mata kemenangan pasukan pada aksi membabitkan Regu C.

Regu C Melaka yang dibarisi pemain kebangsaan, Muhammad Zarif Marican Ibrahim Marican (tekong), Mohamad Azlan Alias (apit kanan) dan Muhammad Zaim Razali (apit kiri) mengatasi Regu C Pulau Pinang iaitu Fakhrul Akhmal Narudin (tekong), Muhammad Zulhilmi (apit kiri) dan Haikal Jamil (apit kanan) dengan keputusan 21-17 dan 21-16.

Kejayaan itu menyaksikan Melaka membawa pulang hadiah kemenangan RM30,000 dan piala sementara Pulau Pinang berpuas hati dengan hadiah RM15,000 berserta piala sebagai naib juara.

Terdahulu, pasukan ATM berjaya menewaskan Kuala Lumpur 2-0 dalam penentuan tempat ketiga dan keempat yang berlangsung di venue sama, pagi tadi.

Kejohanan Sepak Takraw Piala Emas Khir Johari selama seminggu itu melibatkan penyertaan 18 pasukan.

-- BERNAMA