KUALA LUMPUR: Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) mahu mengadakan perjumpaan bersama Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh bagi mencari jalan penyelesaian berhubung kemelut yang melanda sukan sepak takraw negara.

Presiden PSM Datuk Mohd Sumali Reduan berkata kemelut yang tidak berpenghujung melibatkan dua badan induk sepak takraw negara perlu diselesaikan segera bagi memastikan pembangunan sukan sepak takraw tidak terjejas.

"Isu ini biarlah saya selesaikan dahulu di peringkat dalaman PSM serta Menteri Belia dan Sukan, itu yang paling terbaik supaya beliau tahu isu terkini dan kenapa isu ini timbul.

"Bagi menteri sebelum ini saya telah menghantar surat dan menelefon namun tidak berpeluang langsung berjumpa namun menteri yang baharu ini sangat mudah menerima persatuan untuk berjumpa dan inilah peluang untuk saya menceritakan segala-galanya," katanya kepada pemberita pada majlis makan malam Kejohanan Sepaktakraw Kebangsaan Piala Emas Khir Johari ke-56, di sini malam tadi.

Ketika ditanya sekiranya kemelut berkenaan masih tidak menemui titik noktah dan bakal menyaksikan PSM sedia untuk dibubarkan, Mohd Sumali berkata pihaknya akan tetap berusaha bagi mengelakkan perkara sedemikian daripada berlaku.

"Kita sentiasa berusaha ke arah itu (tidak dibubarkan) sehingga hari ini. Kalau dah terpaksa memang terbubar, saya reda tapi setakat ini mengikut logik akal apa yang PSM buat (sumbangan) tak akanlah ia akan dibubarkan.

"PSM sudah buat bermacam-macam dan kalau tidak, akan lebih banyak lagi kita mahu buat namun sebab ada gangguan menyebabkan ia terbantut," katanya.

Kemelut sepak takraw negara bermula apabila Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF) menyingkirkan PSM pada Mei 2021 susulan tindakan presidennya ketika itu, Datuk Seri Ahmad Ismail, menghantar surat kepada Majlis Olimpik Asia (OCA) dan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) atas kapasitinya sebagai Timbalan Presiden ASTAF, pada 24 Feb tahun lepas.

Pada 5 Mac, ASTAF menerima Konfederasi Sepaktakraw Malaysia (MSC) sebagai ahli gabungannya, selepas Pesuruhjaya Sukan (PJS) serta Kementerian Belia dan Sukan menyokong permohonan MSC itu.

-- BERNAMA