IPOH: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tidak pernah terlintas untuk bersikap kejam kepada atlet sehingga perlu melaksanakan pemotongan dan penyusunan semula elaun mereka.

Sebaliknya, KBS tegas Menterinya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, sentiasa mencari jalan terbaik untuk membantu atlet mengikut kemampuan kewangan yang ada.

Menurut Ahmad Faizal, KBS cuba bertindak sebagai ‘ibu bapa’ yang bertanggungjawab terhadap para atlet.

“Kami (KBS) bukan ‘bapa tiri’, bukan ‘emak tiri’, kami cuba bertindak sebagai ibu bapa yang bertanggungjawab, berbelanja mengikut kemampuan kerana sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, kita perlu meletakkan keutamaan kepada perkara-perkara yang lebih utama.

“Kami cuba lakukan yang terbaik. (Cuba) anda bayangkan agak-agaknya saya sebagai Menteri Belia dan Sukan yang baru lima bulan (berkhidmat), (mustahil) saya nak tengok atlet tiba-tiba tak ada (elaun). Kalau boleh saya nak tambah lagi (elaun),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis pecah tanah projek naik taraf sebahagian Jalan Tambun di Dewan Badminton X - Treme Park, Bandar Sunway, Tambun di sini, pada Isnin.

Sehubungan itu, Ahmad Faizal berharap rakyat memahami kekangan yang dihadapi dan tidak lagi mengecam tindakan kementerian.

Ahmad Faizal turut memberi jaminan akan membuat yang terbaik untuk menjaga kebajikan para atlet yang banyak menyumbang kepada negara, termasuk mereka yang tercedera dan bekas-bekas atlet.

Dalam masa sama, beliau berkata, KBS akan mencari jalan bagi membolehkan atlet-atlet diserap di mana-mana agensi di samping syarikat-syarikat korporat seperti yang pernah dilakukan sebelum ini.

Sejak kebelakangan ini, KBS, khususnya Ahmad Faizal menjadi sasaran kecaman pelbagai pihak termasuk netizen ekoran langkah pemotongan elaun atlet yang dilaksanakan.

Selain pemotongan elaun, Majlis Sukan Negara (MSN) turut menggugurkan 144 atlet daripada program latihan kebangsaan kerana bajet yang diterima dikurangkan dalam usaha kerajaan memberi keutamaan kepada pasca COVID-19 dan bencana banjir yang melanda beberapa negeri.