SHAH ALAM: Bekas pemain badminton negara, Bong Guang Yik memohon maaf susulan kenyataan berbaur perkauman menerusi video yang dimuat naik di akaun media sosialnya.

Guang Yik berkata, dia berasa terdorong untuk berkongsi pendapatnya mengenai keadaan semasa badminton di Malaysia, namun mengakui melampaui batas apabila menyentuh soal kaum dan agama.

"Saya ingin memohon maaf kepada semua pihak. Sebab saya berkongsi komen itu adalah kerana saya sangat meminati sukan berkenaan.

"Saya rasa saya bertanggungjawab untuk berusaha dan mempertingkatkan sukan dan industri bagi manfaat semua.

"Sebab itu saya kata semua peringkat pengurusan seharusnya dalam keadaan bagus," katanya seperti dipetik laporan media tempatan pada Isnin.

Bagaimanapun, Guang Yi menjelaskan dirinya tidak sepatutnya menyentuh isu perkauman.

"Oleh itu, saya memohon maaf sekali lagi," ujarnya.

Sebelum ini Guan Yik yang kini berada di China mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman menerusi akaun TikToknya.

Pada Isnin, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh membidas kenyataan berbaur perkauman yang dikeluarkan oleh bekas pemain badminton negara tersebut.

Hannah berkata, hasil semakan yang dibuat Majlis Sukan Negara (MSN) dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengesahkan Guan Yik hanya merupakan bekas pemain pelapis percubaan BAM pada tahun 2014 dan kini tidak menetap di Malaysia. - Sinar Harian