KUALA LUMPUR: Pelumba Supermoto negara, Khairulamirin Yahaya kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil setelah terlibat dalam kemalangan ngeri ketika sesi latihan Kejuaraan Supermoto Sepanyol di Albaida, Sepanyol, 11 Jun lalu.

Dalam satu perkongsian video, kata Khairulamirin, dia masih menanti pembedahan lanjut yang dijadual berlangsung pada Isnin depan untuk memulihkan pelvis yang patah.

"Saya berada dalam keadaan sihat dan stabil di hospital di Valencia. Saya akan menjalani pembedahan pada hari Isnin pagi, sekitar lapan pagi waktu Sepanyol.

"Terima kasih atas segala doa dan hajat yang anda berikan kepada saya di media sosial," katanya dalam video itu.

Terdahulu pada 11 Jun lalu, Khairulamirin atau mesra dikenali Rin mengalami kecederaan setelah terlibat dalam kemalangan tersebut yang menyebabkan beliau patah tulang pelvis dan mengalami pendarahan dalaman.

Susulan itu, beliau terpaksa dikejarkan ke hospital terdekat dan melalui prosedur kecemasan termasuk pembedahan bagi menghentikan pendarahan dalaman.

Pelumba berusia 19 tahun itu turut dijangka tidak dapat beraksi beberapa bulan selain menyebabkan dia terlepas peluang untuk beraksi dalam pusingan pertama Kejuaraan Supermoto Eropah S4 yang dijadualkan berlangsung pada bulan ini.

BACA: Jaguh Supermoto Khairulamirin patah tulang pelvis, alami pendarahan akibat nahas ngeri

Khairulamirin bagaimanapun tetap bersemangat untuk pulih dan menyasarkan untuk kembali cergas supaya dapat bersaing di pusingan akhir Kejuaraan Supermoto Eropah S4 yang berlangsung di Itali pada Oktober depan.

Terdahulu, menurut pasukannya, Supermotoland Husqvarna Junior Talent Team, kemalangan tersebut berlaku ketika Khairulamirin hilang kawalan ke atas motosikalnya dan terbabas sebelum dihempap jentera yang dinaiki olehnya ketika perlumbaan.