Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) membidas laporan sebuah akhbar tempatan yang mempertikaikan kesahihan rekod baharu kebangsaan 200m yang dicipta raja pecut negara, Khairul Hafiz Jantan pada Kejohanan Terbuka Malaysia ke-94 di Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini, pada Selasa.

Presidennya Datuk Karim Ibrahim berkata dakwaan akhbar berkenaan memperlekehkan venue berkenaan yang sudah mendapat pengiktirafan daripada Persatuan Persekutuan Olahraga Antarabangsa (IAAF) jelas mengecewakan KOM.

Justeru, beliau menegaskan dakwaan akhbar berkenaan seolah-olah menidakkan kemampuan Khairul Hafiz yang telah meleburkan rekod berusia 49 tahun iaitu 20.92 saat yang dicipta Tan Sri Dr M. Jegathesan pada Sukan Olimpik 1968 di Moscow.


"Saya sudah dua kali arahkan Jawatankuasa Teknikal KOM menjalankan pemeriksaan terhadap venue tersebut sebelum ini dan semuanya mematuhi garis panduan yang ditetapkan IAAF," katanya ketika ditemui Bernama pada majlis rumah terbuka Aidilfitri Kementerian Belia dan Sukan di sini, malam tadi.

Mengulas lanjut, Karim menegaskan catatan Khairul Hafiz itu adalah sah kerana semua peralatan teknikal yang dipasang di stadium berkenaan telah mendapat pengiktirafan daripada IAAF.

"Saya boleh memberi jaminan bahawa catatan 20.90s yang dilakukan Khairul Hafiz dalam acara 200m adalah rekod baharu kebangsaan yang sah dan tidak perlu diragui lagi dan saya mempunyai segala dokumentasi untuk membuktikan perkara berkenaan," jelas Karim.

Menerusi laporan akhbar tersebut, Karim dilaporkan sebagai berkata bahawa catatan 20.90s yang dicipta Khairul Hafiz perlu mendapat pengesahan badan induk olahraga itu kerana Stadium Nasional Bukit Jalil dikatakan masih belum mendapat pengiktirafan daripada IAAF.

-- BERNAMA