ALOR GAJAH: Kompleks Perahu Layar Hang Jebat di Pengkalan Balak di sini yang mengalami pelbagai kerosakan sehingga tidak dapat dibuka buat masa ini, dijangka akan dibaik pulih melibatkan kos berjumlah RM4 juta.

Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri VP Shanmugam berkata kerja-kerja baik pulih kompleks berkenaan akan dimulakan selepas menerima peruntukan khas daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) selewat-lewatnya pertengahan tahun hadapan.

"Kedudukan kompleks berkenaan di tepi pantai dan sering terdedah kepada angin kuat di kawasan berkenaan menyebabkan bangunan mengalami banyak kemusnahan seperti bumbung rosak dan bocor selain 20 dorm serta beberapa fasiliti lain perlu dibaiki untuk keselamatan dan keselesaan.

"Kompleks Perahu Layar Hang Jebat perlu dibaiki segera kerana bangunan itu dijangka menjadi kompleks pelayaran kedua Majlis Sukan Negara (MSN) selepas Pusat Latihan Perahu Layar Kebangsaan Langkawi, Kedah," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penutup Latihan Kesiapsiagaan Awam Menghadapi Bencana Bersama Komuniti Dewan Undangan Negeri (DUN) Gadek di sini semalam.

Sebelum ini media melaporkan Kompleks Perahu Layar Hang Jebat secara rasmi diambil alih oleh MSN daripada pengurusan kerajaan negeri Melaka pada Julai 2021.

Dalam perkembangan lain, Shanmugam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gadek berkata Kontinjen Melaka memerlukan peruntukan kira-kira RM7.6 juta bagi membaiki dan mengganti pelbagai peralatan dan infrastruktur sukan yang rosak atau uzur.

Beliau berkata fasiliti dan peralatan sukan berkenaan penting untuk kegunaan atlet menjalani latihan khususnya memastikan persiapan awal menghadapi temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke-21 yang dijangka akan berlangsung di Johor pada 2024, dapat dijalankan dengan baik.

"Banyak peralatan dan fasiliti sukan di Melaka uzur dan tidak selamat digunakan sejak Melaka manjadi tuan rumah Sukma ke-13 pada 2010.

"Justeru, kerajaan negeri telah memohon peruntukan daripada KBS untuk menyelenggara, membaik pulih atau menggantikan peralatan atau fasiliti berkenaan agar atlet dapat membuat persediaan Sukma dengan baik dan selamat," katanya.

Katanya selain itu, peruntukan berkenaan juga adalah untuk membiayai elaun jurulatih, atlet, pembelian peralatan, sewa tempat latihan, pengangkutan dan perbelanjaan lain.

-- BERNAMA