PHNOM PENH: Malaysia kekal berada di kedudukan ketujuh selepas berakhir hari ketiga temasya Sukan SEA 2023 apabila kontinjen negara sekadar menambah empat lagi pingat emas pada Isnin.

Kutipan empat pingat emas itu sekali gus menyaksikan kem negara setakat ini mengutip keseluruhan 10 emas, 13 perak dan 25 gangsa.

Pada saingan hari ini, atlet pelayaran muncul pasukan terbaik apabila menyumbangkan dua emas menerusi Muhammad Hafizin Mansor dalam kelas RS:X dan Izry Hafiezy Fitri Azri bagi kelas RS: One.

Pencapaian dua pingat emas pada hari terakhir saingan di Sihanoukville Boulevard di wilayah Sihanoukville yang terletak kira-kira 200 kilometer dari sini itu, menyaksikan skuad pelayaran kebangsaan pulang dengan mencapai sasaran dua pingat emas.

Acara terjun yang membuka saingan di Pusat Akuatik Nasional Morodok Techo di sini, juga tidak mengecewakan apabila menyumbangkan sebutir pingat emas kepada Malaysia menerusi penerjun muda Kimberly Bong yang merangkul emas dalam acara 3 meter (m) papan anjal wanita.

Kejayaan Kimberly itu merupakan emas Sukan SEA pertamanya selepas membuat kemunculan di temasya sukan dwitahunan itu sejak edisi 2017 di Kuala Lumpur.

Saingan dalam acara olahraga yang bermula hari ini juga menyaksikan jaguh baling tukul besi wanita negara, Grace Wong, merangkul pingat emas, dengan memecahkan rekod Sukan SEA dengan catatan 61.87m, memadamkan rekod lama diciptanya pada edisi 2017 di Kuala Lumpur iaitu 59.24m.

Namun, Jackie Wong gagal mempertahankan emas dan terpaksa berpuas hati dengan perak dalam acara baling tukul besi lelaki.

Di Pusat Konvensyen Chroy Changvar, skuad karate turut terlepas peluang mempertahankan pingat emas apabila terpaksa berpuas hati dengan perak dalam acara kumite berpasukan lelaki.

Skuad bola sepak turut mempamerkan aksi mengecewakan apabila tewas kepada Vietnam 1-2 dalam perlawanan ketiga Kumpulan B malam ini, sekali gus menyaksikan anak buah E. Elavarasan ditunjukkan jalan keluar daripada saingan dan gagal mencapai sasaran mara ke pentas final.

Selepas tamat saingan pada Isnin, tuan rumah Kemboja kekal mendahului carta kedudukan pingat apabila meraih keseluruhan 37 pingat emas, 31 perak dan 32 gangsa.

Vietnam menghuni tangga kedua dengan 28-29-35 manakala Thailand berada di tempat ketiga dengan 28-21-32.

-- BERNAMA