IPOH: Selepas lebih 16 tahun, Liga Manjoi kembali dihidupkan bagi melahirkan lebih ramai pemain seperti Khalid Jamlus atau V Saravanan yang pernah menceriakan dunia bola sepak Perak dan Malaysia.

Liga itu bakal berlangsung di Padang Lintau, gelanggang yang pernah melahirkan ramai pemain kebangsaan termasuk Khalid dan Saravanan.

Liga Manjoi bagi merebut Piala Akmal Zharif akan bermula hujung minggu ini, melibatkan enam pasukan secara ‘round robin’.

Setiausaha Politik kepada Menteri Luar, Akmal Zharif Ahmad Kamal berkata, kali terakhir Liga Manjoi diadakan ialah pada 2006.

“Liga Manjoi sangat sinonim dengan anak muda di Gugusan Manjoi, termasuk saya sendiri dan kami sangat menanti-nantikan pertandingan ini.

“Selepas lebih 16 tahun, saya mengambil inisiatif untuk menghidupkannya kembali dengan sasaran antara lain untuk melahirkan pemain-pemain muda yang boleh diketengahkan sebagai pemain Perak dan Malaysia,” katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran liga di sini, pada Ahad.

Menurutnya, Liga Manjoi juga boleh membantu pencarian bakat untuk mewakili pasukan negeri, seperti yang pernah dilakukan sebelum ini.

Pelancaran disempurnakan Ketua Whip Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Datuk Mazlan Abdul Rahman.

Akmal Zharif berkata, sebanyak 12 pasukan telah mengambil bahagian dalam pusingan awal bulan lalu bagi mencari enam pasukan yang layak ke pusingan akhir.