Juara bertahan musim lalu, Manchester United sudah awal-awal lagi boleh mengucapkan selamat tinggal kepada trofi EPL apabila prestasi tidak menentu menyebabkan mereka terperosok di tangga ketujuh dan hampir pasti terlepas slot untuk Liga Juara-Juara Eropah dan juga Liga Europa.
Malah, musim 2013-14 ini juga boleh dikatakan sebagai prestasi terburuk dalam sejarah penglibatan Manchester United dalam EPL sejak 1992 yang turut menyaksikan pengurus mereka David Moyes dipecat.
David Moyes yang mengambil alih tugasan pengurus daripada mantan pengurus legenda Manchester United, Sir Alex Ferguson dilihat gagal membawa kelab gergasi England itu ke tahap sebenar seperti yang dilakukan pada musm-musim yang lalu.
Perlawanan antara Manchester City - West Ham dan Liverpool - Newcastle United dilihat sebagai dua perlawanan yang mampu menjanjikan debaran persis musim 2011-12 dimana dua kelab dari Manchester iaitu City dan United bertarung untuk menentukan kejuaraan liga.
City bagaimanapun menafikan United untuk mempertahankan takhta kejuaraan apabila menang dengan perbezaan jaringan meskipun kedua-duanya mengutip mata yang sama.
Untuk perlawanan terakhir ini, City dilihat mempunyai kelebihan untuk merangkul kejuaraan meskipun hanya mendahului Liverpool dengan kelebihan dua mata sahaja dan bertemu dengan West Ham yang berada di tangga ke-12 dilihat tidak mempunyai banyak masalah bagi mereka.
Namun, pengurus skuad 'The Citizen', Manuel Pellegrini dilihat tidak mahu begitu mendabik dada kerana baginya masih jauh perjalanan untuk meraih kejuaraan dan sedikit kesilapan dalam perlawanan bertemu West Ham pasti akan membawa padah terutama ketika City sudah hampir untuk mendakap trofi EPL.
SIAPA JUARA: Adakah Manchester City atau Liverpool akan ditentukan malam ini.
Jika sebelum ini ramai menjangka bahawa kejuaraan EPL musim ini bakal menjadi milik Liverpool apabila memimpin liga setelah pusingan kedua liga bermula namun jangkaan itu meleset apabila kesilapan kecil mereka dalam perlawanan bertemu dengan Crystal Palace tempoh menyebabkan mereka tercicir mata penuh.Liverpool yang ketika itu sudah mendahului 3-0 hasil jaringan Joe Allen, Daniel Sturridge dan Luis Suarez terpaksa 'gigit jari' apabila kebangkitan Crystal Palace selepas itu membawa kepada tiga jaringan dan sekaligus menyebabkan perlawanan tersebut berakhir dengan seri 3-3.
Namun, Liverpool pasti akan mengerah segala kudrat yang ada dan sedaya upaya akan menewaskan Newcastle United di Anfield sambil mengharapkan West Ham menewaskan City di Etihad.
Berita gembira buat City apabila 'ayam tambatan' Argentina mereka, Sergio Aguero telah kembali cergas selepas mengalami kecederaan sedikit pada perlawanan City dan Everton dan skuad itu kini berada dalam situasi 'bebas cedera'.
Liverpool pula dijangka akan menurunkan kesebelasan terkuat dalam usaha untuk merangkul kejuaraan liga di saat-saat akhir ini dimana ketua pasukan, Steven Gerrard akan diturunkan bersama pemain muda Brazil, Philippe Coutinho manakala barisan serangan yang diterajui oleh gandingan Luis Suarez dan Daniel Sturridge.
Mampukah Liverpool mengakhiri penantian 24 tahun untuk bergelar juara atau Manchester City sekali lagi merangkul kejuaraan Liga Perdana Inggeris malam ini.