SUKAN
Liga Super: KL City benam DPMM, rampas kedudukan kedua daripada Terengganu

Dua gol menerusi pemain sayap Muhammad Safawi Rasid membantu Kuala Lumpur City (KL City) FC merampas kedudukan kedua Liga Super daripada Terengganu FC selepas membenam DPMM FC, 4-0. - Foto Facebook KL City FC
KUALA LUMPUR: Dua gol menerusi pemain sayap Muhammad Safawi Rasid membantu Kuala Lumpur City (KL City) FC merampas kedudukan kedua Liga Super daripada Terengganu FC selepas membenam DPMM FC, 4-0 di Berakas, Brunei malam ini.
Walaupun kedua-dua pasukan mempamerkan aksi seimbang pada babak pertama di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, tuan rumah terlebih dahulu menguji gawang pasukan lawan tetapi percubaan jarak dekat penyerang Muhammad Ramadhan Sananta dinafikan penjaga gol Quincy Kameraad pada minit ke-14.
Kesilapan benteng pertahanan DPMM Pengiran Yura Indera Putera Pengiran Yunos yang melakukan hantaran ke belakang dan gagal disambut kemas penjaga gol Muhammad Haimie Abdullah Nyaring membawa padah, sekali gus menghadiahkan gol pembukaan kepada skuad Warga Kota pada minit ke-25.
Bersambung babak kedua, KL City yang meningkatkan intensiti permainan menggandakan jaringan menerusi penyerang import dari Sepanyol Victor Ruiz pada minit ke-56, hasil hantaran dari tengah padang oleh Muhammad Safawi.Muhammad Safawi kemudian memanfaatkan umpanan ketua pasukan Zhafri Yahya untuk menambah derita skuad kendalian Jamie Mcallister, dengan melepaskan rembatan padu untuk gol ketiga KL City pada minit ke-64.
Pemain berusia 28 tahun itu terus menjadi duri dalam daging buat tuan rumah apabila tenang menolak masuk lorongan Ruiz pada minit ke-84, sekali gus melebarkan rekod tanpa kalah kepada lima perlawanan sejak menundukkan pendatang baharu Imigresen FC 3-0 pada 9 Ogos lepas.
Kemenangan itu membolehkan KL City mengumpul 13 mata untuk berada di tempat kedua liga, mengatasi Terengganu di kedudukan ketiga dengan 10 mata, manakala DPMM pula terperosok di tangga terbawah liga dengan satu mata.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami