SUKAN
Liga Super: Munoz puji JDT, tumpuan kini menentang Buriram United

JDT perlu meningkatkan lagi prestasi mereka menjelang perlawanan Liga Juara-Juara AFC (ACL) menentang Buriram United di Stadium Buriram, Thailand pada 16 Sept ini, kata Munoz. - Gambar fail Bernama
ISKANDAR PUTERI: Ketua jurulatih Johor Darul Ta'zim (JDT), Xisco Munoz menyifatkan kemenangan 6-0 mengalahkan Penang FC dalam aksi Liga Super malam tadi sebagai "persembahan menakjubkan", namun pasukan itu tidak harus berasa selesa.
Beliau berkata, skuad Harimau Selatan itu perlu meningkatkan lagi prestasi mereka menjelang perlawanan Liga Juara-Juara AFC (ACL) menentang Buriram United di Stadium Buriram, Thailand pada 16 Sept ini.
"Pertama sekali tahniah kepada pemain. Perlawanan yang hebat - mereka mengawal bola, menyerang dengan baik dan mencipta banyak peluang.
"Saya sangat gembira kerana mereka mengikut pelan permainan pada tahap sangat tinggi," katanya pada sidang media selepas perlawanan itu di Stadium Sultan Ibrahim, di sini.JDT mendahului 5-0 pada separuh masa pertama sebelum pemain pertahanan Sepanyol, Antonio Glauder meledak gol keenam selepas rehat untuk mengukuhkan kedudukan teratas dalam Liga Super.
Munoz bagaimanapun, merasakan anak buahnya dapat menjaringkan lebih banyak gol jika mereka dapat mengawal emosi pada minit-minit terakhir.
"Kita hanya perlukan sedikit masa lagi untuk mencari keseimbangan ... kadangkala kita mesti lebih bersabar ... dengan kualiti pemain, saya pasti kita dapat menambah baik dan menjaringkan lebih banyak gol pada perlawanan akan datang," katanya.
Jurulatih dari Sepanyol itu turut memuji penampilan sulung Ager Aketxe Barrutia dan Raul Parra Artal kerana cepat menyesuaikan diri dengan gaya permainan intensiti tinggi JDT.
"Tidak mudah untuk terus melangkah ke dalam JDT, tetapi mereka bekerja keras dan memahami perkara yang kami mahukan. Tahniah kepada mereka kerana memberikan yang terbaik pada penampilan pertama," katanya.
Kemenangan itu mengukuhkan kedudukan teratas JDT dalam Liga Super manakala Penang kekal di tempat ke-11 dalam perlawanan 13 pasukan itu.
Mengenai pertemuan dengan Buriram United, Munoz mengakui perlawanan berkenaan akan menjadi ujian getir buat mereka, namun tetap optimis skuadnya mampu menyahut cabaran itu.
"Perkara paling penting ialah kekal fokus dari minit pertama, bermain dengan penuh bertenaga dan memahami kekuatan pihak lawan. Kami tahu permainan ini akan menjadi sukar di tempat lawan, tetapi kami pasti penyokong JDT akan selalu di belakang kami," katanya.
Sementara itu, ketua jurulatih Penang FC, Wan Rohaimi Wan Ismail tetap berpuas hati dengan persembahan anak buahnya meskipun tewas kepada JDT.
"Secara keseluruhan saya boleh katakan dua prestasi yang berbeza, pada separuh masa pertama dan kedua. Sindrom 'lambat panas' ataupun lambat untuk settle down dalam game dan apabila (berhadapan) dengan JDT kita akan dihukum (disebabkan prestasi itu)," katanya.
Wan Rohaimi berkata, perubahan taktikal pada separuh masa kedua membolehkan pasukannya tampil lebih stabil serta berjaya mencipta beberapa gerakan menyerang, bagaimanapun prestasi anak buahnya perlu ditambah baik.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami