KUALA LUMPUR: Selepas mencatat kemenangan sulung 1-0 ke atas KL City FC pada aksi pertama Liga Super Sabtu lepas, Penang FC kini berada dalam momentum terbaik untuk tampil lebih garang berdepan juara bertahan, Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, esok.

Ketua Jurulatihnya, Tomas Trucha berkata beliau meletakkan kepercayaan tinggi ke atas anak buahnya untuk memberi tentangan sengit kepada JDT meskipun mengakui berdepan cabaran getir di tempat lawan.

Mengakui rekod dimiliki skuad kendalian Benjamin Mora itu meletakkan mereka sebagai pasukan yang sukar diatasi ketika ini, Tomas bagaimanapun sudah bersedia dengan perancangan terbaik dalam usaha mengekang pergerakan lawan untuk menguasai keseluruhan perlawanan malam esok.

"Saya memang menantikan aksi menentang JDT kerana apabila kita berdepan lawan kuat, dari situ kita boleh lihat pasukan ini berada di tahap mana dan boleh nilai balik dekat mana kelemahan ketara yang ada selepas perlawanan.

Apa pun, kami sudah bersedia dengan segala pelan untuk memastikan pasukan mampu memberi kesukaran kepada JDT dan mengharapkan kita tidak tewas dengan mudah," katanya dalam kenyataan dikeluarkan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) hari ini.

Kempen Liga Malaysia (Liga-M) bermula Jumaat lepas, menyaksikan JDT mempertahankan kejuaraan Piala Sumbangsih buat kali keempat berturut-turut menerusi kemenangan 2-0 ke atas Kedah Darul Aman FC.

Sementara itu, tumpuan esok juga bakal terarah pada aksi Terengganu FC menentang Selangor FC yang menyaksikan kedua-dua pasukan mendapat tonik terbaik selepas berjaya mengumpul tiga mata dalam aksi pertama minggu lepas.

Pengendali Terengganu FC (TFC) Nafuzi Zain menyeru agar pemainnya berwaspada terhadap kualiti dimiliki pemain baharu Selangor FC, Oliver Buff dan Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi, selain mengawasi pemain lain seperti Ifedayo Omosuyi dan Wan Zack Haikal Wan Nor.

"Misi utama kami di sini tetap untuk mengutip tiga mata penuh berdepan Selangor FC selepas kita bermula dengan cukup baik sewaktu menentang UiTM FC.

"Sekarang, ada pemain masih cedera seperti Petrus Shitembi dan saya akan buat beberapa perubahan yang sepatutnya untuk bertemu Selangor FC untuk kita tetap fokus misi tiga mata," katanya.

Selangor FC membuka kempen Liga-M dengan bergaya selepas mencatat kemenangan 3-1 ke atas Sri Pahang FC manakala TFC memperoleh tiga mata berharga menerusi kemenangan 2-1 di tempat lawan menentang UiTM FC.

-- BERNAMA