KUALA LUMPUR: Seramai lima atlet para menerima Anugerah Khas Paralimpik yang diperkenalkan buat julung kali sempena sambutan Hari Orang Kurang Upaya Sedunia Peringkat Kebangsaan 2021.

Kesemua atlet para berkenaan menerima pengiktirafan itu atas pencapaian mereka yang berjaya meraih pingat pada Sukan Paralimpik Tokyo 2020, baru-baru ini.

Anugerah itu diterima oleh tiga atlet para iaitu Bonnie Bunyau Gustin (powerlifting), Cheah Liek Hou (badminton) dan Abdul Latif Romly (lompat jauh), yang telah memenangi pingat emas bagi acara sukan masing-masing pada temasya itu.

Anugerah Khas Paralimpik turut diberikan kepada dua atlet para yang merangkul pingat perak pada Paralimpik Tokyo iaitu Jong Yee Khie (powerlifting) dan Chew Wei Lun (boccia).

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyampaikan anugerah itu kepada atlet berkenaan pada Majlis Malam Kasih Orang Kurang Upaya (OKU) Keluarga Malaysia di sini malam tadi.

Turut hadir Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun, Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Takiyuddin Hassan, Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim dan Presiden Persatuan OKU Sental Senator Datuk Ras Adiba Radzi.

Sementara itu, Anugerah Ibu Bapa Mithali OKU diberikan kepada Gustin Jenang, 54, bapa kepada Bonnie dan pengiktirafan kategori ini bagi menghargai jasa dan pengorbanan ibu bapa atau penjaga dalam menjaga anak OKU, seterusnya berjaya menyumbang kepada pemerkasaan golongan istimewa itu di Malaysia.

Pada majlis itu, lima kategori anugerah lain turut disampaikan kepada beberapa penerima yang terdiri daripada pertubuhan, majikan, badan korporat, agensi kerajaan, serta individu yang kreatif dalam menghasilkan sesuatu ciptaan khas buat golongan OKU.

Antara kategori itu ialah Anugerah Pencapaian Dasar Satu Peratus OKU dalam Perkhidmatan Awam yang diberikan kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat; Kementerian Perpaduan Negara; Kementerian Pertahanan; dan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

Kesemua kementerian berkenaan menerima pengiktirafan tersebut kerana berjaya memastikan lebih ramai OKU diberi ruang dan peluang untuk bekerja dalam sektor awam.

Selain itu, tiga Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) iaitu Seri Malindo, Melaka; Miri, Sarawak; dan Wakaf Tapai, Terengganu; menerima Anugerah Program Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Cemerlang bagi menghargai usaha dan komitmen daripada aspek pengurusan, pentadbiran, pemulihan, pembelajaran, latihan dan penempatan pekerjaan pelatih PDK.

Bagi Anugerah Majikan Prihatin (swasta) pula diberikan kepada QSR Brands (M) Holdings Bhd; Lotuss Stores (M) Sdn Bhd; Perusahaan Saudee Sdn Bhd; Extramil Export Industry Sdn Bhd dan The Famous Amos Chocolate Chip Cookie Corp (M) Sdn Bhd.

Pengiktirafan terhadap lima syarikat itu merupakan penghargaan dalam memberikan sokongan padu sebagai majikan, untuk menggajikan golongan OKU melalui perkhidmatan 'Job Coach' yang disediakan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

-- BERNAMA