PUTRAJAYA: Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) hari ini mendedahkan menerima surat daripada Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) berhubung tunggakan bayaran penganjur Le Tour de Langkawi (LTdL) 2022 kepada lima pasukan bertanding.

Tanpa mendedahkan nama pasukan terlibat, Presiden PKBM, Datuk Abu Samah Abd Wahab berkata tunggakan itu melebihi RM1 juta, namun tidak melibatkan hadiah kemenangan.

Beliau berkata sekiranya masalah itu tidak diselesaikan tahun ini, ia berkemungkinan besar menghalang UCI daripada menyenaraikan LTdL dalam kalendar perlumbaan tahun depan.

"Jumlah tunggakan yang kita tahu adalah berdasarkan jumlah dinyatakan UCI...UCI tulis surat ada lima pasukan yang tak dibayar...yang tak dibayar bukan hadiah kemenangan tetapi seperti bayaran penampilan dan tiket penerbangan.

"Jadi bila kesemua pasukan terlibat tak dapat duit, mereka laporkan kepada UCI. UCI bukan nak tekan penganjur (sebaliknya) mereka datang kepada PKBM," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran LTdL 2023 di Menara Kementerian Belia dan Sukan (KBS), di sini, hari ini.

Abu Samah berkata isu tunggakan itu bukan sahaja mencalarkan reputasi baik LTdL, malah berupaya menjejaskan minat pasukan luar untuk bersaing dalam edisi kali ini dan seterusnya, namun memberi jaminan akan berusaha mengatasi masalah berkenaan.

Beliau berharap kerajaan melalui Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dapat membantu PBKM dalam menyelesaikan isu tunggakan itu selepas usaha berunding dengan penganjur menemui jalan buntu.

"Kami nak bincang dengan mereka (penganjur) tetapi gagal dihubungi, hanya kita minta daripada KBS yang masih mengatakan ada jumlah boleh dituntut sebanyak RM1.1 juta dan duit bon RM400,000.

"Kami meminta jumlah itu jangan dilepaskan kepada mereka (penganjur), sebaiknya dihantar atau dibayar terus kepada pasukan yang membuat tuntutan...kita juga minta MSN (Majlis Sukan Negara) supaya cari jalan untuk memudahkan urusan ini," katanya.

Sebagai rekod, Human Voyage (M) Sdn Bhd merupakan penganjur LTdL 2022 selepas turut menganjurkan saingan perlumbaan jelajah berbasikal terulung negara itu bermula 2019.

Terdahulu, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh merasmikan majlis pelancaran LTdL 2023 yang bakal berlangsung dari 23 hingga 30 Sept, membabitkan lapan peringkat merentasi 10 negeri serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Semenanjung dan meliputi laluan sejauh 1, 280.3 kilometer (km).

-- BERNAMA