Liverpool kembali menemui rentak selepas membelasah Fulham 4-0 di Anfield dalam Liga Perdana Inggeris.

Kemenangan tersebut sekali gus melonjakkan kedudukan The Reds ke tangga ke lapan liga.

Anak didik Brendan Rodgers turun dengan misi mencari kemenangan selepas dimalukan Aston Villa 3-1 minggu lepas.

Mereka tidak perlu menunggu lama apabila pemain pertahanan Martin Skrtel menjaringkan gol pertama minit ke-8 selepas menerima umpanan daripada kapten pasukan Steven Gerrard.

The Reds meneruskan usaha mereka untuk merobek gol lawan dan ia membuahkan hasil apabila mereka mendapat gol kedua sembilan minit sebelum tamat separuh masa pertama.

Gol itu dijaringkan Gerrard yang menerima hantaran cantik daripada Stewart Downing.

Lima minit masuk babak kedua, Liverpool semakin selesa di depan apabila hantaran Gerrard disambut baik Downing untuk gol ketiga perlawanan.

Fulham yang cuba bangkit bagaimanapun gagal menemui rentak dalam perlawanan tersebut.

Sebaliknya Liverpool meneruskan malam bergaya mereka dengan gol keempat pada minit akhir permainan hasil jaringan penyerang berbisa pasukan Luiz Suarez.

Kemenangan 4-0 kosong itu sekali gus melegakan pasukan tersebut yang mengalami prestasi tidak menentu.