MALAM yang sempurna buat penyokong Liverpool seperti yang digambarkan oleh pengurus pasukan itu, Jurgen Klopp selepas skuad itu berjaya menewaskan Wolverhampton Wanderers 2-0 di tempat lawan pada Jumaat.

Skuad the Reds terus kekal dengan rekod tanpa kalah dalam Liga Perdana Inggeris dengan mengutip 48 mata daripada 18 perlawanan.

Walaupun berada di puncak liga dengan empat mata di hadapan juara bertahan, Manchester City, skuad the Citizens itu berpeluang untuk merapatkan kembali kedudukan jika menang dalam perlawanan pada malam Sabtu menentang Crystal Palace.

Hujan lebat di Stadium Molineux sejak sepak mula menyukarkan permainan kedua-dua pasukan dengan the Reds menguasai 62% permainan ke atas pasukan tuan rumah.

Kerap kali pertahanan Liverpool membuat kesilapan dengan membuka ruang kepada Wolves membuat beberapa larian berbahaya dalam kawasan gol mereka namun pelbagai cubaan dihalang penjaga gol, Alisson Becker.

Liverpool berada di depan menerusi satu gerakan cantik Sadio Mane dengan Fabinho.

Ia menyaksikan hantaran silang Fabinho ditolak masuk masuk Mohamed Salah pada minit ke-18 untuk Liverpool berada di depan 1-0.

Wolves beberapa kali melancarkan serangan ke arah gawang Liverpool namun pada babak kedua, hantaran Salah disudahkan Virgil van Dijk untuk Liverpool berada di depan 2-0 pada minit ke-68.

Ia merupakan gol pertama van Dijk dalam PL sementara Salah kini muncul penjaring terbanyak liga dengan 11 gol.

Liverpool berjaya menyerap segala tekanan pasukan tuan rumah sehingga ke penghujung permainan untuk membawa pulang tiga mata penuh dengan kemenangan 2-0.

Liverpool berada di landasan yang betul untuk menamatkan kemarau kejuaraan liga utama England sejak 1990 namun dijangka terus menerima tentangan sengit City.