ARSENAL 0 CHELSEA 2
Romelu Lukaku menjanjikan peningkatan prestasinya selepas kemunculan pertamanya dalam penggal kedua di Chelsea dengan mencuri tumpuan dalam kemenangan 2-0 di Arsenal, awal pagi tadi.
Lukaku, yang tampil buat pertama kalinya sejak perpindahan bernilai £97.5 juta (RM562.9j ) daripada Inter, membuka akaun jaringannya Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini di Stadium Emirates selepas kali terakhir mencetak gol buat The Blues pada sembilan tahun dan 360 hari lalu.
Arkitek gol pertama, Reece James, kemudian meledak gol kedua perlawanan sebelum rehat untuk Chelsea mempunyai kawalan penuh selepas itu.
Lukaku gagal menambah jaringannya pertama pada minit ke-15 itu tetapi menamatkan permainan dengan lapan percubaan selain terlibat dalam 15 perebutan bola.
Ketika ditanya apakah hari ini berjalan lebih baik, Lukaku memberitahu Sky Sports: "Tidak, tidak, tidak.

 


"Saya sangat gembira dengan kemenangan ini. Kami beraksi dengan sangat baik, kami menguasai perlawanan, kami sepatutnya mampu menyumbat lebih banyak gol lagi.
"Sejujurnya datang ke sini dengan persembahan seperti ini adalah bagus, kami perlu teruskan usaha seperti itu."
Menggambarkan prestasinya sendiri, penggempur berusia 28 tahun itu menambah: "Saya akan katakan kami mendominasi sepanjang perlawanan ini sambil saya cuba meningkatkan prestasi. Perjalanan saya masih panjang.
"Tapi hari ini bagus, untuk menang dan bermula dengan baik dan sekarang kami perlu terus bekerja keras, terus bangkit dan menjadi lebih mantap.
"EPL adalah liga yang sangat kompetitif tetapi kami bersedia menghadapi cabaran dan semoga kami dapat memperbaiki persembahan."
Lukaku juga mencipta tiga peluang untuk rakan sepasukannya dan ingin memuji mereka.
"Saya mahu bekerja keras untuk pasukan," katanya.
"Saya mahu menang, menjaringkan gol dan mencipta peluang.
"Ia sesuatu yang telah saya pelajari, saya amat gigih tentangnya dan akan terus berusaha.
"Pasukan ini sangat berbakat -- mereka merupakan juara Eropah tetapi mereka masih mahu terus membangun dan saya mahu terus menang. Kami harus terus berjuang, terus bekerja keras dan memberikan persembahan seperti ini."
Lukaku telah mengubah reputasinya selepas memimpin Inter meraih gelaran Serie A sebaik meninggalkan Manchester United, tetapi dia percaya masih ada banyak lagi yang boleh ditawarkan dalam permainannya.
"Saya fikir anda hanya sempat melihat sebahagiannya sahaja," jelasnya.
"Anda akan melihatnya banyak lagi tetapi bukanlah daripada saya semata-mata. Pasukan ini menyesuaikan diri dengan sangat baik.
"Saya mengemukakan banyak soalan kepada rakan sepasukan dan mereka sangat membantu, mereka menjadikan kehidupan saya sangat selesa.
"Jadi, saya tidak tertekan ketika diturunkan, saya sangat fokus dan ada satu perkara di fikiran saya: hanya memenangi perlawanan. Kami melakukannya hari ini dan saya sangat gembira untuk kelab, peminat, dan ayuh terus berkembang.
"Bagus untuk bermula seperti ini. Saya bekerja keras sepanjang minggu ini, pasukan juga begitu. Kami sedar ini adalah satu perlawanan penting dan betapa besar maknanya buat kami, semua orang memerhati dan kami berjaya.
"Sebagai individu, saya cuba membantu pasukan. Saya berkata saya mahu menawarkan sesuatu yang berbeza kepada pasukan -- semoga saya melakukannya -- dan saya harus terus melakukannya demi membantu pasukan menang. Itulah perkara yang paling penting."