KUALA LUMPUR: Pasukan lelaki dan wanita negara memulakan kempen Kejohanan Berpasukan Asia dengan bergaya pada hari pertama kejohanan yang berlangsung di Pusat Skuasy Nasional Bukit Jalil, di sini hari ini.

Skuad lelaki yang diletakkan dalam Pool B, mempamerkan aksi mantap apabila menang 3-0 ke atas Singapura pada perlawanan berlangsung tengah hari dan meneruskan momentum kemenangan dengan mengatasi Korea Selatan 3-0 pada sesi petang, manakala pasukan wanita pula menewaskan Iran 3-0 juga aksi Pool B.

Pada perlawanan menentang Singapura, Ivan Yuen menyumbang mata pertama selepas menewaskan Chua Man Tong 11-7, 11-7, 11-2 diikuti kemenangan kedua menerusi Mohammad Syafiq Mohd Kamal yang mengalahkan Kojiro Tan Chi Lang 11-3, 11-4, 11-5.

Addeen Idrakie melengkapkan kemenangan skuad lelaki kebangsaan apabila mudah menundukkan Jerome Aw Jin Ming 11-3, 11-6, 11-1 dalam aksi yang berlangsung hanya 18 minit sahaja.

Pada perlawanan kedua menentang Korea Selatan, Addeen Idrakie memerlukan 21 minit untuk menyumbang mata pertama Malaysia selepas menewaskan Woo Changwook 11-6, 11-3, 11-4.

Malaysia menurunkan Ng Eain Yow selaku pemain kedua bagi menggantikan Mohammad Syafiq Mohd Kamal, untuk menyumbang mata kedua negara selepas mengecewakan pemain di ranking ke-18 dunia Yoo Jaeyin 12-10, 11-3, 11-5 sebelum Ivan menyumbang mata kemenangan selepas menundukkan Lee Minwoo 11-9, 11-9, 10-12, 11-8 dalam satu aksi sengit.

Dalam aksi skuad wanita pula, pemain negara di ranking ke-43 dunia Rachel Arnold meraih mata pertama negara selepas menewaskan Fereshteh Eghtedari 11-5, 16-14, 11-2.

Chan Yiwei menambah mata kedua buat pasukan Malaysia apabila menewaskan Ailee Nayeri 11-4, 11-9, 11-5 sebelum Ainaa Amani melengkapkan kemenangan menewaskan Sogol Samoudi 11-5, 11-4, 6-11, 11-6.

Skuad lelaki kebangsaan sekali lagi akan beraksi dalam dua perlawanan esok menentang Iran pada tengah hari dan tugas besar menanti mereka pada sebelah petang apabila berdepan juara bertahan Hong Kong manakala pasukan wanita pula akan berdepan India, pagi esok.

Untuk rekod, skuad lelaki kebangsaan muncul juara sebanyak tiga kali dengan kali terakhir pada 2008 manakala skuad wanita pula memenangi kejohanan itu sebanyak sembilan kali dengan kali terakhir pada 2016.

-- BERNAMA