KUALA LUMPUR: Malaysia menamatkan kempen Kejohanan Boling Dunia berlangsung di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dengan meraih pingat perak dan gangsa masing-masing dimenangi menerusi acara berpasukan lelaki dan wanita.

Pasukan wanita dibarisi Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman, Natasha Mohamed Roslan, Nur Syazwani Sahar dan Faten Najihah Ahmad Faik akur terlepas gelaran juara selepas tewas kepada Amerika Syarikat (AS) dalam aksi final, awal pagi ini waktu Malaysia.

Malaysia mendahului apabila memenangi permainan pertama 190-170 sebelum AS yang dibarisi Missy Parkin, Jordan Richard, Danielle McEwan dan Kelly Kulick bangkit menyamakan kedudukan selepas memenangi permainan kedua 171-215 sekali gus mengheret kepada permainan penentuan menyaksikan AS menang 40-38.

Sambil melahirkan penghargaan kepada peminat Malaysia yang sentiasa memberikan sokongan, Siti Safiyah bersyukur dengan pingat perak yang dimenangi di kejohanan dunia dengan mengambil kira setelah hampir dua tahun tidak beraksi dalam kejohanan kompetitif susulan pandemik COVID-19.

"Kami sasarkan pingat emas dan cuba yang terbaik, tetapi ini (perak) sahaja yang kami mampu menang. Namun kami bersyukur dengan perak kerana setelah dua tahun tidak bertanding dalam kejohanan, ini pencapaian yang agak besar buat kami," katanya menerusi rakaman video.

 
Sumber Facebook MTBC74


Skuad wanita negara mara ke peringkat akhir selepas mengenepikan Filipina 203-183 pada aksi separuh akhir dan menyingkirkan Jerman 235-199 di suku akhir.

Sementara itu, skuad lelaki negara dibarisi bekas juara dunia Muhammad Rafiq Ismail, Syafiq Ridhwan Abdul Malek, Tun Ameerul Luqman Al-Hakim Tun Hasnul Azam and Muhammad Syazirol Shamsudin juga terpaksa berpuas hati dengan gangsa selepas tewas 184-299 kepada Korea Selatan di separuh akhir.

Skuad lelaki negara sebelum itu mengenepikan AS 279-258 di suku akhir. Korea Selatan muncul juara selepas menewaskan Singapura 196-136 dan 248-198.

Penyertaan skuad negara dalam acara perseorangan, beregu dan trio bagaimanapun terkandas di peringkat suku akhir dalam kejohanan dunia yang berlangsung sejak 6 Nov lepas.

-- BERNAMA