SUKAN
Malaysia tuan rumah Piala Dunia Sepak Takraw 2026 - PSM

Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) Datuk Mohd. Sumali Reduan berkata keputusan itu dimuktamadkan dalam Mesyuarat Majlis ISTAF yang berlangsung di Hatyai, Thailand, hari ini. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Malaysia sekali lagi mencipta sejarah apabila diberikan hak penganjuran Kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw 2026, menjadikannya kali ketiga negara diberi kepercayaan selaku tuan rumah oleh Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF).
Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) Datuk Mohd Sumali Reduan berkata keputusan itu dimuktamadkan dalam Mesyuarat Majlis ISTAF yang berlangsung di Hatyai, Thailand, hari ini.
"Penganugerahan ini adalah pengiktirafan terhadap kejayaan penganjuran dua kejohanan bertaraf antarabangsa secara berturut-turut di Malaysia, selain bertepatan dengan penganjuran Tahun Melawat Malaysia 2026," katanya dalam satu kenyataan.
Untuk rekod, Malaysia sebelum ini pernah menjadi tuan rumah kejohanan sama pada tahun 2011 dan 2024.Dalam pada itu, Mohd. Sumali turut menegaskan pendirian PSM yang kekal menolak cadangan ISTAF untuk meminda peraturan bulatan servis tekong.
"Cadangan ini bakal menghapuskan keunikan dan nilai kesenian posisi tekong yang telah menjadi identiti sukan sepak takraw sejak sekian lama. Malaysia berpandangan undang-undang sedia ada perlu dikekalkan demi memelihara seni servis tekong yang menjadi kebanggaan sukan ini," tegasnya.
Sementara itu, beliau turut menyuarakan kekecewaan terhadap jadual perlawanan yang padat dan tidak munasabah sepanjang Kejohanan Piala Raja Thai 2025 yang sedang berlangsung ketika ini.
"Jadual yang tidak teratur dan sering berubah boleh menjejaskan prestasi serta kemampuan sebenar pemain. Saya berharap perkara ini tidak akan berulang dan pihak penganjur perlu lebih profesional demi menjaga martabat kejohanan antarabangsa," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami