KUALA LUMPUR: Skuad Bawah 22 Tahun (B-22) kebangsaan sah tidak diperkuatkan dengan kehadiran pemain muda meningkat naik Johor Darul Ta'zim (JDT) Arif Aiman Mohd Hanapi, pada pusingan Kelayakan Piala Asia Bawah 23 Tahun (B-23) 2022 hujung bulan ini.

Namun, skuad B-22 bimbingan Ketua Jurulatih Brad Maloney bakal mendapat sentuhan pemain berpangkalan di Jerman bersama kelab SGV Freiberg Annil R Vigneswaran, berdasarkan senarai akhir 23 pemain dikeluarkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) semalam.

Dalam senarai tersebut, Maloney turut mempertaruhkan empat pemain muda yang beraksi bersama skuad senior kebangsaan pada aksi persahabatan di Amman, Jordan baru-baru ini iaitu Luqman Hakim Shamsudin, Muhammad Mukhairi Ajmal Mahadi, Quentin Cheng dan Mohamad Hakimi Abdullah.

Sementara itu, lima daripada sembilan pemain dari kem latihan pusat Fasa 2 skuad B-22 negara tidak berada dalam senarai akhir susulan kecederaan adalah Ahmad Aysar Hadi Mohd Shapri, Muhammad Firdaus Ramli, Muhamad Alif Abdul Mutalib, Chia Ruo Han dan K. Thivandaran.

Empat pemain lagi yang tidak berjaya menempatkan diri dalam senarai akhir adalah Muhammad Firdaus Irman Mohd Fadhil, Muhammad Khairi Suffian Khaineyusri, Muhammad Aidil Azuan dan Saiful Iskandar Adha Saiful Azlan.

Pada kempen kelayakan itu, Malaysia diundi bersama Laos, Mongolia selaku tuan rumah dan Thailand dalam Kumpulan J, dengan kesemua aksi akan berlangsung di Stadium Persekutuan Bola Sepak Mongolia (MFF) di Ulaanbaatar dari 25 hingga 31 Okt ini.

Malaysia akan bertemu Laos pada 25 Okt, Mongolia (28 Okt) dan Thailand (31 Okt) dalam usaha memburu slot ke pusingan akhir Piala Asia B-23 2022 di Uzbekistan pada Jun.

Berikut senarai akhir 23 pemain skuad B-22 negara bagi menghadapi saingan Kumpulan J pusingan Kelayakan Piala Asia B-23 2022:


NamaPasukanUmur
Muhammad Mukhairi Ajmal MahadiSelangor FC20
Sikh Izhan Nazrel Sikh AzmanSelangor FC19
Ahmad Zikri Mohd KhaliliSelangor FC19
Muhammad Azrin Afiq RusminiSelangor FC 219
Muhammad Faiz Amer RunnizarSelangor FC 218
Muhammad Fahmi Daniel Mohd ZaaimSelangor FC 219
T. SaravananSelangor FC 220
Harith Haiqal Adam AfkarSelangor FC 219
Syed Muhammad Nasrulhaq Syed BidinTerengganu FC22
Mohamad Hakimi AbdullahTerengganu FC22
Nik Akif Syahiran Nik MatTerengganu FC22
Muhammad Azam Azmi MuradTerengganu FC20
Muhammad Syafik IsmailTerengganu FC II21
Muhammad Hairiey Hakim MamatTerengganu FC II21
Muhammad Nur Azfar Fikri AzharTerengganu FC II21
Muhamad Umar Hakeem Suhar RezwanJDT II19
Muhammad Shafi Azswad SapariJDT II20
Mohd Aiman Afif Md AfizulKedah Darul Aman FC20
Muhammad Azri Ab GhaniPerak FC22
Quentin ChengPenang FC22
Azhad Harraz ArmanSkuad Projek FAM-MSN18
Luqman Hakim ShamsudinKV Kortrijk19
Annil R VigneswaranSGV Freiberg18


-- BERNAMA