PENGURUS Manchester United, Jose Mourinho berkata gergasi Liga Perdana Inggeris (BPL) itu hanya akan menandatangani seorang lagi pemain sebelum jendela perpindahan ditutup, di pertengahan khabar angin mengaitkan Paul Pogba ke Old Trafford.

United dilaporkan sanggup berbelanja sebesar ‎£100 juta dalam usaha membawa masuk Pogba dari Juventus.

Mourinho yang enggan menamakan sebarang pemain, bagaimanapun memberi bayangan pemain yang dihajatinya.

"Kami akan mengikat seorang lagi pemain, itu pasti. Saya tidak mahu bercakap mengenai Paul, kerana dia adalah pemain Juventus," ulas Mourinho kepada BT Sport.

Tambahnya dia tidak mahu bercakap mengenai pemain kelab lain dan juga tidak suka apabila mereka bercakap mengenai pemainnya.

"Realitinya kami akan menandatangani seorang lagi pemain. Tarikh akhirnya adalah 31 Ogos dan kami masih mempunyai banyak masa untuk melakukannya, namun kami mahu memuktamadkannya sebelum sepak mula BPL," katanya.