OLE Gunnar Solskjaer menepis tanggapan bahawa pertahanan Manchester United menjadi halangan untuk mereka bergelar juara Liga Perdana Inggeris (EPL) sambil menegaskan bahawa mereka tidak sepatutnya dianggap sebagai pencabar kejuaraan itu.

United terlepas peluang untuk menyamakan mata dengan pendahulu dan seteru setempat, Manchester City, selepas terikat 3-3 dengan Everton di laman sendiri awal pagi tadi.

Pasukan kendalian Solskjaer itu mendahului 2-0 dan 3-2 sebelum Dominic Calvert-Lewin menghasilkan penyudah tenang untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-95 untuk membenarkan City, yang kini berkelebihan dua perlawanan dalam tangan, berkelebihan lima mata seandainya menewaskan Liverpool awal pagi esok.

Pengurus United itu bersikap kritikal terhadap pertahanan pasukannya walaupun mereka hanya membenarkan pasukan lawan melakukan enam percubaan termasuk tiga percubaan tepat sementara mereka pula melakukan 14 percubaan ke kubu lawan.

Tetapi berbicara mengenai aksi tidak kemas bahagian belakang pasukannya yang mengganggu impian mereka musim ini, Solskjaer memberikan respons berbeza sambil berasakan pasukannya sudah beraksi baik.

"Kita tidak bercakap tentang memenangi gelaran," katanya kepada Sky Sports.

"Perjalanan kami sebagai satu pasukan amat jauh, kami tidak sepatutnya dianggap sebagai pencabar kejuaraan.

"Itu jawapan untuk anda. Kami perlu menjadi lebih baik sebagai satu pasukan, kemudian kita akan melihat bagaimana ia akan berakhir.

"Beraksi menyerang amat baik. Ayuh berhenti daripada dibolosi gol mudah," katanya.

Ia hanya kali kedua dalam sejarah EPL, United yang mendahulu dua gol sebelum waktu rehat di laman sendiri, gagal memenangi perlawanan selepas kali terakhir terikat 2-2 dengan West Brom pada 2010.


Solskjaer amat teruja dengan permainan menyerang United yang semakin lancar selepas membelasah Southampton 9-0 tetapi kecewa apabila mereka gagal meraikan satu lagi kemenangan.

"Kami bermain dengan agak baik dalam babak kedua tetapi kami dibolosi tiga gol daripada tiga percubaan tepat.

"Apabila mereka hanya melakukan tiga percubaan tepat dan anda dibolosi tiga gol, ia sudah pasti mengecewakan. Kami mempamerkan beberapa permainan yang amat-amat baik.

"Ia sememangnya gol-gol yang amat buruk. Sepanjang permainan, kami menjangkakan pihak lawan akan melakukan satu atau dua ancaman tetapi mereka melakukan tiga percubaan ke gawang dan anda dibolosi.

"Ia sudah pasti mengecewakan apabila ia berlaku pada minit terakhir waktu kecederaan, ia benar-benar mengecewakan," katanya lagi.