Mariah Carey bakal nyanyi lagu Itali pada upacara pembukaan Sukan Olimpik Musim Sejuk

Selain Carey, tenor Itali Andrea Bocelli dan penyanyi Laura Pausini telah pun diumumkan. - Foto fail/REUTERS
ROM: Bintang pop antarabangsa, Mariah Carey, akan menyanyikan "sebuah lagu indah dalam bahasa Itali" pada upacara pembukaan temasya Sukan Olimpik Musim Sejuk 2026 di Milan dan Cortina d'Ampezzo, menurut pengarah kreatif Marco Balich, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
"Kehadiran beliau bakal memukau penonton," kata Balich.
Carey, pemenang Anugerah Grammy sebanyak lima kali, disahkan penyertaannya dalam upacara pembukaan itu pada bulan lepas, dan pihak penganjur menyasarkan barisan tetamu terkemuka untuk persembahan pada 6 Feb tersebut.
Selain Carey, tenor Itali Andrea Bocelli dan penyanyi Laura Pausini telah pun diumumkan. Tetamu lain termasuk pelakon Pierfrancesco Favino, Sabrina Impacciatore, dan Matilda De Angelis.
Bagaimanapun, Balich menegaskan bahawa "bintang sebenar upacara tersebut adalah para atlet."
Di bawah moto "Armonia" (keharmonian), upacara pembukaan Milano-Cortina 2026 akan berlangsung di empat lokasi berbeza temasya berkenaan.
Tumpuan utama persembahan tersebut adalah di Stadium San Siro di Milan. Bagaimanapun, upacara serentak juga akan diadakan di Predazzo, Livigno, dan Cortina d'Ampezzo.
Obor Olimpik juga akan mengikut konsep ini dan akan menyala di dua kawah api di lokasi yang berbeza, jelas Balich.
Satu akan dipasang di Arco della Pace di tengah Milan, manakala satu lagi di Cortina di Piazza Angelo Dibona.
Reka bentuk kawah api tersebut merupakan penghormatan kepada Leonardo da Vinci dan melambangkan "Knots" beliau yang terkenal, iaitu corak garisan yang terdapat dalam lukisannya.
Bermula 7 Feb sehingga api Olimpik dipadamkan pada 22 Feb, kawah api di Arco della Pace di Milano akan menjadi tumpuan acara harian.
Persembahan tersebut akan berlangsung antara tiga hingga lima minit pada setiap jam, bermula dari 5.00 petang hingga 11.00 malam (1600 GMT hingga 2200 GMT), dan dibuka kepada warga kota serta pelawat.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


