SPORTS
Masa depan Pearly-Thinaah diketahui selepas Terbuka Thailand - Subramaniam

Timbalan Presiden BAM Datuk V ketika sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan ke-80 BAM di Akademi Badminton Malaysia hari ini. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Masa depan beregu wanita utama negara Pearly Tan-M Thinaah bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM) akan ditentukan selepas tamat kejohanan Terbuka Thailand 2025, dari 13 hingga 18 Mei ini.
Ringkasan AI
- Kedua-dua pemain belum menandatangani kontrak baharu dengan BAM dan akan mengadakan perbincangan akhir selepas kembali dari Terbuka Thailand 2025.
- Naib Presiden 1 BAM, Datuk V Subramaniam, menegaskan rundingan tidak boleh dijadikan tekanan atau ugutan, sambil menyatakan bahawa semua pemain lain telah menerima kontrak baharu kecuali Pearly dan Thinaah.
- BAM mempertimbangkan untuk meningkatkan ketelusan mengenai aspek kewangan pemain, mengambil contoh amalan antarabangsa seperti dalam bola sepak, namun keputusan akhir akan dibuat selepas perbincangan dengan pemain.
"Namun, buat masa ini mereka berada di Thailand. Jadi, sebaik sahaja mereka kembali (perbincangan akhir) dijangka diadakan bila-bila masa minggu hadapan," katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan ke-80 BAM di sini hari ini.
Subramaniam berkata isu berkenaan perlu diselesaikan segera, sekali gus mengingatkan pemain agar tidak menggunakan rundingan kontrak sebagai satu tekanan.
"Kami juga tidak mahu pemain menjadikan ini sebagai satu bentuk ugutan kerana jika itu tidak diperjelaskan, ia akan menjadi satu penyakit yang berlarutan.
"Semua pemain lain telah selesai berbincang dan menerima kontrak baharu kecuali mereka berdua (Pearly-Thinaah)," ujarnya.
Terdahulu, timbul spekulasi bahawa Pearly dan Thinaah, yang kontraknya bersama BAM tamat Disember lepas, merancang untuk meninggalkan badan induk itu.
Pasangan nombor empat dunia itu dijadual membuka kempen Terbuka Thailand 2025 menentang pasangan Jepun Hina Osawa-Akari Sato.
Sementara itu, Subramaniam berkata mesyuarat majlis turut bersetuju mengenai keperluan untuk meningkatkan ketelusan berhubung pendapatan pemain.
Mengambil contoh amalan antarabangsa seperti dalam bola sepak iaitu gaji pemain diketahui umum, beliau berkata mungkin tiba masanya BAM turut menjelaskan aspek kewangan kepada masyarakat.
Beliau bagaimanapun berkata sebarang pendedahan berkaitan akan dibuat selepas perbincangan bersama pemain dan jika difikirkan perlu.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami