SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menziarahi legenda bola sepak negara, Khalid Ali yang disahkan menghidap barah paru-paru.

Amirudin berkata, kunjungan itu dilakukan sempena mengambil keberkatan Aidilfitri ini yang menggalakkan umat Islam menziarahi antara satu sama lain.

"Sambil ditemani isteri beliau, saya memberi kata-kata semangat dan bertanyakan situasi terkini rawatan.

"Saya mendoakan agar Khalid diberi kekuatan dan kesembuhan, Insya-ALLAH. Semoga kita sama-sama mendoakan beliau," katanya dalam satu hantaran di Facebook beliau pada Ahad.

Khalid sebelum ini beraksi di posisi tengah merupakan bekas pemain kebangsaan pada era 1970-an.

Khalid yang pernah mencipta nama bersama Selangor meraih beberapa pencapaian terbaik dan pernah membantu Malaysia layak ke Sukan Olimpik 1980 di Moscow, Rusia. - Sinar Harian