BEKAS penyerang Arsenal dan Barcelona, Thierry Henry melihat Real Madrid boleh mendominasi bola sepak Eropah dan Sepanyol untuk tempoh enam atau tujuh tahun akan datang jika mereka menandatangani Kylian Mbappe pada musim panas ini.

Mbappe memaklumkan Paris Saint-Germain bahawa dia akan meninggalkan kelab Perancis itu apabila kontrak tamat pada akhir kempen 2023-24.

Pemain antarabangsa Perancis itu dijangka berpindah ke Real Madrid secara percuma, dan Henry berkata, ketibaannya di Bernabeu menandakan permulaan tempoh penguasaan untuk Los Blancos.

"Jika Mbappe pergi ke Real Madrid mereka akan mempunyai pasukan yang boleh mendominasi Eropah dan La Liga selama mungkin enam atau tujuh tahun kerana mereka semua masih muda, Mbappe, Vinicius (Junior) Rodrygo, Federico Valverde, Aurelien Tchouameni," katanya kepada CBS Sports.

Mbappe sekali lagi berada dalam prestasi mengagumkan untuk PSG musim ini, menjaringkan 34 gol dan mencatat tujuh bantuan dalam 34 penampilan dalam semua pertandingan.

"Sebelum ini mereka mempunyai beberapa pemain hebat seperti Casemiro, Mesut Ozil dan Varane yang sudah meninggalkan pasukan.

“Ada satu perkara yang anda perlu berikan Real Madrid pujian, dan itulah keupayaan yang mereka ada untuk memastikan mereka membina pasukan dengan mengekalkan pemain lama dan memberikan pengalaman kepada pemain muda," katanya. - Sinar Harian