KUALA LUMPUR: Bekas Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Remaja Akademi Badminton Malaysia (ABM) Datuk Misbun Sidek sudah menghantar surat jawapan kepada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) berhubung tawaran diberikan kepadanya sebelum ini.

Pengurus peribadinya Nor Kamal Ahmad yang mewakili Misbun menghantar surat itu kepada BAM di sini hari ini bagaimanapun tidak dapat mendedahkan isi kandungan surat Misbun kepada badan induk sukan itu.

"Jadi keputusan itu tak boleh nak maklum, biar BAM maklum, saya tak boleh nak dahului BAM," katanya kepada pemberita di sini selepas menyerahkan surat itu.

Nor Kamal berkata beliau juga tidak dapat memastikan sama ada terdapat syarat dikenakan Misbun kepada BAM sekiranya bekas pemain negara itu menerima tawaran berkenaan.

Selepas membuat keputusan menamatkan khidmat Misbun, BAM pada minggu lepas membuat "pusingan-u" dengan memberikan tawaran kepadanya menghabiskan kontrak sebagai Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Remaja ABM hingga hujung tahun ini.

Presiden BAM Tan Sri Mohamad Norza Zakaria yang melangkaui keputusan dibuat Jawantankuasa Khas baru-baru ini berkata tawaran dibuat kepada Misbun itu membolehkannya untuk membimbing pemain remaja ke Kejohanan Remaja Dunia 2023 di Spokane, Washington Amerika Syarikat dari 25 Sept hingga 8 Okt ini.

Nor Kamal juga berkata setakat ini tiada pertemuan di antara Misbun dan Mohamad Norza bagi membincangkan dengan lebih lanjut tawaran itu.

Ditanya mengenai keadaan terkini Misbun, Nor Kamal berkata: "Memang ketika ini Misbun menyendiri tapi Alhamdulillah beliau sihat. Buat sementara waktu ini beliau tak nak jumpa sesiapa lagi."

Dalam pada itu, beliau juga berkata Misbun masih berhubung dengan bekas pemainnya ketika ini termasuk berkongsi petua kepada mereka sejak ditamatkan kontrak sebelum ini.

Sementara itu, Pengarah Pentadbiran BAM Michelle Chai mengesahkan telah menerima surat diutuskan Misbun kepada mereka.

Michelle berkata surat itu telah disampaikan kepada Mohamad Norza yang ketika ini difahamkan berada di luar negara.

"Kami akan mengeluarkan satu kenyataan sama ada daripada Mohamad Norza atau BAM ...dijangka dalam minggu ini," katanya.

BAM menerusi Jawatankuasa Khas diketuai Timbalan Presiden Datuk V. Subramaniam membuat keputusan menamatkan kontrak Misbun susulan prestasi hambar skuad badminton remaja di Kejohanan Remaja Asia 2023 di Yogyakarta, Indonesia, bulan lepas.

Misbun sebelum ini meninggalkan BAM buat kali pertama pada 2011 sebelum menyertai semula BAM untuk kali kedua pada 2017 sebagai Ketua Jurulatih Perseorangan Lelaki Kebangsaan.

Pada 2020 beliau dilantik sebagai Pengarah Pembangunan Remaja Kebangsaan diikuti sebagai Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Remaja ABM tahun lepas.

-- BERNAMA