KUALA LUMPUR: Pemain pertahanan Sabah FC Mohd Rizal Mohd Ghazali terus membisu, berhubung ketidakhadirannya ke kem latihan skuad kebangsaan yang bermula Isnin lepas.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Mohd Saifuddin Abu Bakar mengesahkan, sehingga pagi ini badan induk itu belum menerima sebarang penjelasan secara lisan mahupun bertulis daripada Mohd Rizal.

Mohd Saifuddin berkata FAM tidak akan menutup pintu kepada Mohd Rizal bagi menyertai sesi latihan skuad Harimau Malaya, sekiranya pemain berusia 29 tahun itu mengambil keputusan untuk melapor diri dalam masa terdekat.

Namun, FAM menyerahkan kepada kepada pertimbangan pengendali Kim Pan Gon sama ada mahu menerimanya bersama pasukan ataupun tidak.

"Itu (peluang sertai pasukan) terpulang kepada ketua jurulatih, beliau (Mohd Rizal) tak perlu maklum kepada FAM jika ingin melapor diri, sebaliknya terus melapor kepada ketua jurulatih," katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Isnin lepas Pan Gon dalam kenyataan memaklumkan Mohd Rizal menolak pelawaan menyertai kem latihan pusat skuad kendaliannya, sebagai pengganti kepada seorang lagi pemain pertahanan Muhammad Syahmi Safari menjelang saingan Siri Tiga-Negara FAS 2022 berdepan di Singapura, minggu depan.

Susulan itu, jurulatih Korea Selatan itu terpaksa memanggil pertahanan Negeri Sembilan FC Ahmad Khuzaimi Piee, bagi mengisi kekosongan tersebut.

Tindakan mengunci mulut diambil Mohd Rizal itu seperti tidak mengendahkan nasihat kelabnya, selepas Sabah FC dalam kenyataan Rabu lepas menyarankan supaya beliau memberi penjelasan terperinci kepada FAM, mengenai ketidakhadirannya ke kem latihan pusat berkenaan.

Sementara itu, Mohd Saifuddin memaklumkan kelancaran sesi latihan pusat skuad kebangsaan yang dijalankan di Stadium Nasional di Bukit Jalil, di sini, sedikit terjejas berikutan keadaan cuaca hujan pada sebelah petang.

Bagaimanapun, beliau berkata situasi itu tidak melunturkan semangat barisan pemain dan jurulatih, yang sentiasa memberikan komitmen dalam kedua-dua sesi latihan di sebelah pagi dan petang.

Skuad kebangsaan akan berlepas ke Singapura Selasa depan bagi memulakan saingan Siri Tiga-Negara FAS menentang Filipina (23 Mac) dan skuad tuan rumah (26 Mac) pada aksi Persahabatan Antarabangsa Tier 1.

Pasukan bimbingan Pan Gon akan menamatkan siri perlawanan persahabatan itu, yang juga merupakan persediaan menghadapi Kelayakan Piala Asia 2023 pada Jun, dengan bertemu kelab Liga Singapura, Albirex Niigata FC pada aksi tertutup yang dijadual berlangsung 28 Mac ini.

-- BERNAMA