IPOH: Khidmat penolong jurulatih Perak FC Mohd Shahril Nizam Khalil, yang memangku tugas selaku ketua jurulatih kelab akan diteruskan sehingga tamat aksi Liga Super musim ini, kata Pengurus Besarnya Azman Noh.

Beliau berkata, keputusan itu berdasarkan pemerhatian dilakukan pihak pengurusan selain rata-rata pemain menyenangi pendekatan serta taktikal yang diterapkan Mohd Shahril, pada masa ini.

"Ada perubahan dari sudut taktikal dengan corak permainan yang diterapkan nampak berbeza, dan lebih meyakinkan ditambah dengan bantuan daripada Shahrulnizam Mustapa, yang bertindak selaku penolong jurulatih sementara untuk pasukan.

"Pemain pun nampak selesa dengan apa dilakukan mereka, walaupun kita akui buat masa ini kita masih ketandusan kemenangan daripada dua perlawanan di bawah kendalian beliau," katanya ketika dihubungi Bernama semalam.

Sebelum ini, Mohd Shahril yang merupakan bekas pemain Perak era 90-an di posisi tengah dan pertahanan, dilantik untuk membimbing pasukan selama dua minggu bermula dengan perlawanan menentang Penang FC di Stadium Perak pada 3 Ogos lepas.

Pelantikan sementara itu juga dilakukan pihak pengurusan, selepas mengambil kira kemerosotan prestasi The Bos Gaurus di bawah kendalian ketua jurulatih Chong Yee Fatt.

BACA: Shahril akui tugas getir sebagai ketua jurulatih Perak FC 

BACA: Prestasi hambar, PAFA cadang Perak FC 'rehatkan' Yee Fatt

Azman berkata ketika ini pemain Perak FC, sedang mengikuti kem berpusat selama tiga hari bermula Khamis, bertujuan mengembalikan keyakinan serta fokus mereka bagi menghadapi empat perlawanan selepas ini, yang diibaratkan sebagai misi 'hidup mati' untuk kekal dalam saingan liga musim depan.

"Kita tidak boleh nak dedahkan lokasi kem ini, cuma apa yang boleh saya beritahu kita kurung mereka semata-mata untuk eratkan hubungan, berbincang daripada hati ke hati dan sebagainya. Ini pendekatan yang kita gunakan untuk bina dan kuatkan jati diri mereka kembali," katanya.

Mengulas mengenai pemain import, katanya Perak FC berkemungkinan besar hanya menggunakan khidmat dua pemain import dari Lubnan Jad Noureddine dan Samir Ayass, selain tonggak kelahiran England, Charlie Machell sehingga ke penghujung musim.

Bagaimanapun beliau berkata, Jad dan Samir masih di bawah pemantauan rapi selepas kedua-duanya dilaporkan gagal memberi kerjasama yang baik, kepada barisan kejurulatihan.

"Pada masa ini, kita beri kedua-duanya peluang dan kita akan tengok mereka dalam sesi latihan. Kalau mereka tunjukkan kesungguhan saya rasa mungkin jurulatih akan senaraikan mereka. Setakat ini apa dimaklumkan, ada perkembangan positif ditunjukkan kedua-dua pemain itu," katanya.

-- BERNAMA