IPOH: Penolong Jurulatih Perak FC Mohd Shahril Nizam Khalil mengakui berdepan tugas getir memangku tanggungjawab selaku ketua jurulatih bagi menggantikan Chong Yee Fatt yang direhatkan buat sementara waktu pihak pengurusan kelab.

Beliau berkata meskipun hanya memangku tugasan tersebut selama dua minggu bermula semalam namun sudah pasti para penyokong mahukan satu keputusan yang positif bagi mengubah nasib The Bos Gaurus pada ketika ini.

"Selama dua minggu ini, kami akan hadapi empat perlawanan bermula dengan aksi menentang Pulau Pinang hari ini. Tugasan saya ini juga akan dibantu jurulatih Perak FC II Syamsul Saad dan jurulatih skuad Piala Presiden Shahrulnizam Mustapa.

"Apa yang boleh dikatakan, kita kena realistik dan ini bukan satu tugas mudah jika dilihat dengan prestasi pasukan pada ketika ini. Tapi ia bukan satu yang mustahil untuk dijelmakan," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Semalam, Perak FC menerusi kenyataan media di laman Facebook rasmi kelab mengesahkan Yee Fatt direhatkan oleh pihak pengurusan kelab sehingga ke satu tarikh yang akan diumumkan kelak.

Tindakan terhadap Yee Fatt itu dipercayai susulan prestasi buruk dipamerkan skuad The Bos Gaurus yang pada ketika ini berada di kedudukan 11 daripada 12 pasukan dan sekadar mengumpul 13 mata selepas mengharungi 16 perlawanan Liga Super.

Mohd Shahril adalah bekas pemain Perak era 90-an di posisi tengah dan pertahanan itu, menjelaskan beliau berharap para pemain akan terus fokus dan berjuang habis-habisan bagi memastikan visi utama pasukan kekal dalam saingan Liga Super.

"Semua bergantung kepada permainan di atas padang, mahu atau tidak pemain jugalah yang akan menentukan nasib pasukan pada ketika ini. Saya percaya mereka akan dapat lakukan tugas ini dengan baik," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut mengakui bahawa pihak pengurusan sedang cuba memujuk bekas pemain import dari Brazil, Leandro Dos Santos dan Raianderson untuk kembali bersama pasukan namun tiada perkembangan terkini berkenaan tindakan itu.

"Memang satu perkhabaran yang gembiralah bagi saya jika mereka kembali bersama pasukan. Kualiti yang ada pada mereka ini kita sendiri pun tahu dan telah banyak membantu pasukan mengecapi pelbagai kejayaan," katanya.

-- BERNAMA