Bekas presiden Inter Milan, Massimo Moratti, menafikan dakwaan bahawa bintang Barcelona, Lionel Messi, akan ke San Siro.

Sehingga kini, kontrak Messi -- yang akan berakhir hujung musim depan -- di Barcelona masih belum diperbaharui, sekaligus mencetuskan pelbagai spekulasi.

Meskipun bekas penyerang Argentina, Diego Milito, menyatakan Inter berminat membawa pemain itu ke Milan, namun Moratti menegaskan Messi tidak akan menyertai Inter.

"Inter tidak pernah membincangkan perkara ini," Moratti memberitahu ANSA.

"Mungkin mereka sedang bercadang untuk membawa masuk nama besar pada masa akan datang tetapi nama Messi tidak pernah disebut."

Sementara itu, pelantikan Stefano Pioli selaku pengganti Frank de Boer telah membawa impak berkesan terhadap aksi hambar kelab itu sebelum ini.

Sejak diambil alih Pioli, Inter telah memenangi kesemua tujuh perlawanan dalam Serie A dan Coppa Italia dan kini menduduki tangga keenam liga, satu mata di belakang AC Milan.

Moratti menambah: "Pioli seorang jurulatih yang bagus dan keputusan semasa telah membuktikan kemampuannya.

"Layak ke Liga Juara-Juara Eropah merupakan sasaran kami tetapi kami perlu lihat di mana kedudukan pasukan pada hujung musim."